FORMALDEHID digunakan sebagai bahan perekat dalam produk komposit kayu.
FORMALDEHID digunakan sebagai bahan perekat dalam produk komposit kayu.
‘UV Spectro Photo Meter’ digunakan bagi menilai kandungan formaldehid dalam sampel melalui penyerapan warna.
‘UV Spectro Photo Meter’ digunakan bagi menilai kandungan formaldehid dalam sampel melalui penyerapan warna.
DR Rafaedah (kanan) menjalankan persampelan udara dari kebuk besar.
DR Rafaedah (kanan) menjalankan persampelan udara dari kebuk besar.
SAMPEL kayu disusun untuk diuji menggunakan kebuk kecil.
SAMPEL kayu disusun untuk diuji menggunakan kebuk kecil.
Nor Hanisah Kamaruzaman

Industri berasaskan kayu antara sektor penting dalam ekonomi negara apabila produk komposit kayu seperti papan lapis, papan gentian dan serpai menjadi penyumbang penting bagi keseluruhan RM20.5 bilion nilai eksport produk kayu tempatan.

Bagaimanapun, kebanyakan produk kayu berkenaan menggunakan resin sintetik seperti urea formaldehid (UF), fenol formaldehid (PF) dan melamin urea formaldehid sebagai bahan perekat.

Formaldehid ialah gas beracun, tidak berwarna, berbau sengit yang digunakan sebagai pengawet dalam sintesis kimia dan dalam pembuatan resin sintetik. Bahan itu digunakan dalam pembuatan tekstil dan pemprosesan kayu.

Gas formaldehid dibebaskan dalam beberapa proses kimia dan fizikal seperti pemanasan resin formaldehid mahupun kayu panel yang diletakkan di bawah tekanan atau suhu tinggi.

Suasana di dalam rumah pada suhu antara 25 hingga 34 darjah Celsius dan 40 hingga 70 peratus lembapan membebaskan gas formaldehid daripada pelbagai perabot dan hiasan dalaman seperti rak, meja, almari, kerusi dan pintu.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), American California (2008) dan Kesatuan Eropah (2014) mengkategorikan formaldehid sebagai bahan karsinogenik iaitu penyebab kanser dan leukemia.

Bertindak sebagai pusat penyelidikan terunggul dalam bidang hutan tropika, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) mengorak langkah membantu industri perkayuan tempatan mengatasi halangan pasaran yang dikenakan negara pengimport.

Pegawai Penyelidik Kanan FRIM Dr Rafaedah Rusli berkata, isu pembebasan formaldehid menjadi agenda utama yang wajib dipatuhi pengeluar produk papan panel negara ini.

“Pasaran global sudah menetapkan garis panduan bagi memastikan produk kayu tempatan memenuhi piawaian antarabangsa seperti Japanese Agricultural Standard (JAS), European Standard (EN) dan California Air Resources Board (CARB),” katanya.

Katanya, FRIM mengambil langkah proaktif dengan menyediakan kemudahan ujian pembebasan formaldehid seperti kaedah desikator (piawaian Jepun), kaedah perforator (piawaian Eropah) dan kaedah kebuk besar dan kecil.

“Langkah ini penting bagi memastikan produk panel berasaskan kayu dari Malaysia lebih berdaya saing dan kekal di pasaran global,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Julai 2016 @ 11:13 AM