SEBAHAGIAN peserta yang menghadiri Forum Perkhidmatan Pensijilan Produk FRIM.
SEBAHAGIAN peserta yang menghadiri Forum Perkhidmatan Pensijilan Produk FRIM.
Oleh Mohamad Hussin

Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) menganjurkan Forum Perkhidmatan Pensijilan Produk FRIM (FRIM PCS) di Auditorium FRIM, Kepong, baru-baru ini bertemakan ‘Pensijilan Produk Menjamin Kualiti.’

Majlis perasmian disempurnakan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Zoal Azha Yusof.

Hadir sama, Ketua Pengarah FRIM Datuk Dr Abd Latif Mohmod dan Pengarah Bahagian Akreditasi, Jabatan Standard Malaysia (DSM), Shaharul Sadri Alwi.

Zoal Azha dalam ucapannya berkata, sektor industri berasaskan kayu khususnya perabot, memainkan peranan penting dalam menjana sumber pendapatan ekonomi negara khususnya Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan tukaran mata wang asing.

Beliau berkata, pada tahun 2012, nilai eksport perabot menjangkau hampir RM6.3 bilion dan menyumbang hampir 30 peratus daripada keseluruhan hasil eksport industri kayu-kayan yang berjumlah RM20.5 bilion.

“Terdapat lebih 14,784 kilang pemprosesan dan pengeluaran produk perabot yang turut menyediakan peluang pekerjaan kepada seramai 80,064 orang iaitu 4.4 peratus guna tenaga kerja dalam sektor pembuatan negara.

“Industri perabot negara memainkan peranan yang penting di dalam Pelan Induk Perindustrian (IMP) untuk mempertingkatkan pendapatan negara daripada industri kayu-kayan tempatan.

“Ini selari dengan agenda Dasar Perindustrian Industri Kayu Negara (NATIP) bagi mencapai sasaran pasaran eksport kayu-kayan negara kepada RM53 bilion setahun menjelang 2020,” katanya.

Menurutnya, dalam usaha meningkatkan sumbangan dan peranan Bumiputera dalam sektor perabot, penekanan perlu diberikan kepada program pembangunan produk yang menitikberatkan peningkatan kualiti dan reka bentuk perabot.

“Ia menarik minat pembeli dalam jangka panjang dan menggalakkan pembeli mendapatkan produk tempatan berdasarkan kualiti barangan dan ‘value for money’ bukannya semata-mata sebagai pembeli runcit yang menetapkan harga produk rendah.

“Justeru, syarikat pengeluar perabot Bumiputera perlu mengambil inisiatif bagi menghasilkan produk yang mempunyai reka bentuk berinovatif, menarik, berkualiti dan mampu bersaing di pasaran terbuka tempatan serta eksport,” katanya.

Beliau berkata ketika ini industri perkayuan berhadapan dengan pelbagai isu global yang membabitkan produk berorientasikan kualiti, mesra alam, kemampanan sumber dan mempunyai pelepasan karbon yang rendah.

“Jika isu ini tidak ditangani dengan berkesan, maka daya saing industri perabot negara bakal terjejas dalam tempoh terdekat.

“Tanpa adanya satu badan persijilan produk perabot tempatan, badan persijilan produk dan badan ujian dari luar negara yang sudah bertapak di negara ini terus mengambil peluang.

“Tambahan pula, badan persijilan produk tempatan mampu membantu negara untuk mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi,” katanya.

Zoal Azha berkata, beliau bangga kerana FRIM sudah mengambil langkah mempertingkatkan keupayaan FRIM untuk menjadi sebuah Badan Pensijilan bagi produk perabot dalam memastikan perabot buatan negara ini dapat memenuhi tahap kualiti dan mematuhi standard yang ditetapkan pasaran tempatan mahu pun luar negara.

“Saya berharap FRIM dapat meningkatkan peranannya dalam memberikan perkhidmatan pensijilan produk melalui kerjasama jitu dari semua pihak yang terbabit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Julai 2015 @ 10:43 AM