HAZMAN rancak promosi single keempat, Sendiri.
HAZMAN rancak promosi single keempat, Sendiri.
Syafil Syazwan Jefri


Peluang beraksi dalam filem televisyen (FTV) di Indonesia menjadi pengalaman berharga buat penyanyi Hazman.

Lebih menarik, dia berpeluang tampil sebagai watak utama dalam dua FTV di negara itu.

“Alhamdulillah, maklum balas yang diterima juga menggalakkan. Ramai beri reaksi positif dan FTV itu juga mendapat sambutan menggalakkan penonton di sana,” katanya.

Dua FTV lakonannya adalah Aku Hanya Butuh Maaf Anakku dan Jodoh di Tangan Ilahi.

“Untuk FTV pertama, banyak kekurangan saya yang perlu diperbaiki. Namun untuk Jodoh Di Tangan Ilahi, saya berusaha berikan yang terbaik,” katanya.

Ditanya mengenai cabaran yang terpaksa dihadapi ketika menjayakan dua naskhah itu, Hazman berkata perbezaan bahasa menjadi cabaran utama.

“Tentunya perbezaan bahasa kekangan utama. Ada perkataan yang saya sendiri tidak faham dan terpaksa bertanya kepada penerbit dan pengarah.

“Pelakon di sana juga tidak lokek ilmu dan banyak membantu membantu saya sepanjang penggambaran,” katanya.

Berkongsi pengalamannya bergelar pelakon baru di Indonesia, Hazman me­ngakui mengagumi cara kerja mereka.

“Pelakon hanya menerima skrip pada hari penggambaran dijalankan. Meskipun ‘last minute’, semuanya berjalan dengan lancar dan santai.

“Kalau di Malaysia, penggambaran untuk FTV atau telefilem biasanya ambil masa selama seminggu. Lain pula di Indonesia kerana produksi hanya diberi masa selama tiga hari.

“Semua mesti disiapkan dalam tempoh yang diberi,” katanya.

Meskipun penat kerana terkejar-kejar, pengalaman itu berbaloi dan sangat berharga buatnya sebagai pendatang baru.

Terbaru, anak jati Terengganu ini rancak mempromosikan single keempatnya, Sendiri.

“Lagu ciptaan DJ Fuzz ini berbeza daripada tiga single saya sebelum ini. Ia berentak balada tetapi masih mengekalkan identiti suara saya yang bernada tinggi,” katanya.

Hazman bersyukur apabila lagu itu mula diputarkan di radio tempatan.

“Single terdahulu, Terseksa mendapat sambutan menggalakkan. Jadi diharap Sendiri pun berjaya dan mendapat tempat di hati pendengar.

“Jika semua berjalan lancar, saya akan muncul dengan album mini yang memuatkan enam lagu hujung tahun ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Julai 2016 @ 5:04 AM