HARAP kehadiran Aura bawa aura positif buat karier seni.
HARAP kehadiran Aura bawa aura positif buat karier seni.
Syafil Syazwan Jefri


BEBERAPA tahun meninggalkan dunia nyanyian tidak pernah memadam semangat penyanyi, Hazman Al-Idrus untuk terus berkarya dan berjuang dalam cabang seni ini.

Terbaharu, Hazman kini kembali mencorak perjalanan seninya sebagai penyanyi menerusi single terbaharu yang juga single kemunculan semulanya berjudul Aura.

Dihasilkan sepenuh olehnya, Hazman mendapat ilham untuk menghasilkan lagu ini tepat pada waktu tengah malam apabila satu 'aura' tiba-tiba dirasakannya.

"Saya mendapat ilham lagu Aura ini tepat jam 12 tengah malam di tepi sungai berhampiran rumah datuk saudara di Janda Baik. Aura di sana pun lain macam. Ia sangat berbeza. Jadi, selepas mendapat ilham mencipta melodi serta lirik itu, saya pun terus simpan gitar dan dengan rasa bersemangat saya dapat idea untuk memberi judul Aura kepada lagu ini," katanya.

Bernaung di bawah syarikat rakaman dan pengurusannya sendiri iaitu Hai Production, Hazman juga tidak menafikan bahawa proses pembikinan Aura begitu mencabar.

"Pengalaman sepanjang menghasilkan karya ini sangat mencabar sebab ini adalah karya sulung saya dan saya tiada pengalaman dalam menerbitkan lagu. Banyak perkara baharu yang saya belajar mengenai pembikinan muzik bermula dari menulis lirik, mencipta melodi, masuk studio untuk rakaman, penyusunan muzik dan vokal sehingga proses penerbitan lagu ini. Bukan mudah, namun ia adalah proses pembelajaran bagi saya supaya lebih mahir di masa akan datang," katanya.

Pada masa sama, Hazman turut berkongsi kisah duka apabila pemain bass lagu ini, Bob Effendy dijemput Ilahi sebelum lagu ini dilancarkan.

"Alhamdulillah, saya amat berterima kasih dan bersyukur sebab mempunyai pasukan yang faham dengan apa yang saya cuba sampaikan dan mereka cuba merealisasikan karya ini dengan bersungguh-sungguh.

"Saya memilih Mattao untuk menyusun dan program muzik kerana dia adalah individu yang amat mudah untuk berbincang dan senang apabila berurusan. Saya juga amat sedih dengan permergian Bob yang meninggal dunia sebelum sempat mendengarkan lagu ini dilancarkan secara rasmi," katanya.

Hazman berharap kehadiran Aura dapat membawa aura positif buat karier seninya dan kepada setiap pendengar lagu ini.

"Dengan kemunculan semula saya ke dunia nyanyian ini, saya menjadikan Aura sebagai inspirasi bagi diri saya sendiri supaya dapat memberikan aura yang positif dalam kerjaya dan aktiviti seni serta kehidupan yang saya jalani.

"Bukan sahaja buat diri saya, bahkan saya titipkan doa dan harapan sama buat setiap pendengar yang menyokong kehadiran karya ini," katanya.

Terdahulu, Hazman pernah menyertai program pertandingan D'Academy Asia musim pertama dan mewakili Malaysia.

Dari situ, dia mula mencipta nama sebagai pelakon di Indonesia menerusi beberapa telefilem dan seterusnya mengembangkan bakat lakonannya di Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 November 2021 @ 6:40 AM