GEMENTAR tunggu respons filem TV berjudul Aku bergandingan dengan pelakon berpengalaman.
GEMENTAR tunggu respons filem TV berjudul Aku bergandingan dengan pelakon berpengalaman.
Syafil Syazwan Jefri


PERTAMA kali mencipta nama sebagai pelakon tentunya membuatkan penyanyi rap, Bunga Isme rasa gementar.

Namun, hasil lakonannya dalam filem TV (FTV) terbaharu berjudul Aku, Bunga tidak kurang hebatnya.

Bergandingan dengan pelakon berpengalaman seperti Naim Daniel dan Aman Graseka, Bunga berkata, dia pernah menyertai kelas lakonan kelolaan Fauziah Ahmad Daud.

"Sebagai persediaan sebelum saya melangkah ke lokasi penggambaran FTV ini, saya ada menyertai kelas lakonan bersama Kak Ogy (Fauziah). Walaupun kelas itu hanya sehari, banyak ilmu yang saya dapat daripada orang berpengalaman sepertinya," katanya.

Menurut pemilik nama penuh Noor Ayu Fatini itu, dia memerlukan bimbingan daripada orang berpengalaman bagi mengembangkan lagi wataknya sebagai Bunga dalam FTV arahan Kabir Bhatia itu.

"Ini kali pertama saya berlakon. Saya tak pernah ada sebarang pengalaman walaupun uji bakat lakonan. Jadi, sedikit sebanyak menerusi bimbingan Kak Ogy, saya belajar bagaimana mengembangkan watak yang saya bawakan.

"Selain itu, saya juga bersyukur kerana Khabir, Naim dan pelakon lain tak lokek berkongsi ilmu dengan saya. Mereka banyak memberi tunjuk ajar," katanya.

Walaupun baru setahun jagung dalam industri muzik, itu tidak menghalang Bunga mencuba cabang seni lain.

"Bagi saya, semuanya adalah rezeki dan apabila saya nampak jalan rezeki saya begini, apa salahnya kalau saya teruskan saja dan berlakon.

"Lagipun, rezeki begini bukan selalu datang dan dapat pula saya bekerja di bawah arahan pengarah hebat seperti Kabir dan bergandingan dengan pelakon berpengalaman," katanya.

Bercerita mengenai karier muziknya, Bunga masih kekal dengan imejnya yang berbaju kurung polos yang kini menjadi identitinya.

"Saya selesa dengan penampilan begini dan ketika membuat persembahan pun, saya berbaju kurung," katanya.

Bercita-cita menjadi ahli politik dan peguam, Bunga juga menyimpan impian untuk bekerjasama dengan Yuna.

"Kalau dalam bidang politik, saya impikan untuk duduk sebaris Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar. Dalam bidang muzik pula, saya mahu bekerjasama dengan Yuna," katanya.

Menurut Bunga, dia pernah menerima ucapan tahniah daripada Yuna ketika nama dan video persembahannya dikongsikan portal Bloomberg dan artikel dalam The New York Times.

"Dia juga mengikuti akaun Instagram saya dan sejujurnya, saya ada menyimpan impian untuk bekerjasama dengannya," katanya.

Bunga berkata, dia menantikan masa sesuai untuk meluahkan hasratnya itu.

"Sekarang, saya baharu mula nak menapak dan perjalanan saya masih jauh. Apabila tiba masanya nanti, saya akan luahkan hasrat saya kepadanya dan ajak dia untuk bekerjasama," katanya.

Selain Aku, Bunga, dia juga baharu selesai menjalani penggambaran telefilem berjudul Holiday Haji Tok yang menjadi karya kedua lakonannya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Ogos 2020 @ 6:46 AM