PEMAIN Perak, Gilmar Jose Da Silva Filho (tengah) dilayangkan kad merah pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2018 menentang Terengganu di Stadium Shah Alam. FOTO/LUQMAN HAKIM ZUBIR
PEMAIN Perak, Gilmar Jose Da Silva Filho (tengah) dilayangkan kad merah pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2018 menentang Terengganu di Stadium Shah Alam. FOTO/LUQMAN HAKIM ZUBIR
Sukanteam 

SHAH ALAM: Pengadil Suresh Jayaraman yang mengendalikan aksi final Piala Malaysia antara Terengganu FC (TFC) dan Perak di Stadium Shah Alam, malam ini dianggap netizen sebagai pengadil terburuk dalam sejarah pengadilan trofi berprestij itu.

Turut membidas pengadil berkenaan ialah Pengerusi Liga Bolasepak Malaysia (MFL) Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang menyifatkan mutu pengadilan hari ini teruk.

“Pengadil final Piala Malaysia hari ini teruk. Saya tidak pernah melihat dia dan saya terkejut mengapa dia dipilih untuk final,” kata Tunku Ismail.

Beberapa keputusan kontroversi Suresh dalam perlawanan itu termasuk membatalkan dua jaringan Perak dan melayangkan dua kad merah kepada pemain Perak, Gilmar da Silva pada minit ke-55 dan  pemain TFC, Lee Tuck (m-66) menyaksikan ramai yang mengecamnya.

Kebanyakan komen netizen mempertikaikan kewibawaan Suresh untuk menjadi pengadil perlawanan penting itu serta gagal mengawal perlawanan sehingga hampir tercetus pergaduhan antara pemain kedua-dua pasukan.

Bagaimanapun, tidak  menghairankan kerana Suresh dikatakan pernah menjadi punca pergaduhan final Piala Menteri Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) antara pasukan UiTM Shah Alam menewaskan UiTM Perlis 2-1 yang dicemari insiden tumbuk-menumbuk serta caci-mencaci pada tahun 2015.

Dalam perlawanan di Stadium Mini Shah Alam itu, Suresh turut melayangkan tiga kad merah membabitkan seorang pemain tuan rumah dan dua pelawat dengan jurulatih UiTM Perlis, Manja Man meluahkan rasa kecewa terutama dengan mutu pengadilan yang disifatkannya ‘bertaraf rendah’ sehingga mengundang insiden memalukan itu.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Oktober 2018 @ 11:39 PM