KHAIRUNISA (tengah) dan dua penuntutnya menghasilkan konkrit ringan menggunakan dua bahan buangan industri kelapa sawit iaitu tempurung dan abu terbang. FOTO Bernama
KHAIRUNISA (tengah) dan dua penuntutnya menghasilkan konkrit ringan menggunakan dua bahan buangan industri kelapa sawit iaitu tempurung dan abu terbang. FOTO Bernama
BERNAMA

KUANTAN: Menyedari kos bahan binaan yang kian meningkat, sekumpulan penyelidik dan penuntut dari Universiti Malaysia Pahang (UMP) menghasilkan konkrit ringan untuk sektor binaan menggunakan sisa bahan buangan industri kelapa sawit.

Pensyarah Fakulti Kejuruteraan Awam dan Sumber Alam UMP, Dr Khairunisa Muthusamy berkata, agregat ringan berkenaan dihasilkan daripada tempurung kelapa sawit dan bahan separa pengganti simen daripada abu terbang tanaman itu yang disifatkan lebih mesra alam dan tahan lama.

Penyelidikan mengenainya dimulakan pada 2013 disertai pensyarah lain dan beberapa pelajar pasca siswazah dan kini ciptaan itu sedang dalam proses dipatenkan, katanya.

"Negara akan mengalami masalah kekurangan batuan untuk binaan kerana kepesatan pembangunan sektor industri. Sumber batuan ini pula selepas diguna lama kelamaan akan habis.

"Jadi sebagai alternatif, kita menggunakan tempurung kelapa sawit sebagai bahan ganti agregat kasar seperti batu granit untuk membuat konkrit yang lebih ringan," katanya baru-baru ini.

Beliau yang juga ketua penyelidik kajian itu berkata, langkah itu juga adalah antara usaha untuk mengurangkan kegiatan perlombongan dan kuari batu yang kini semakin meningkat berikutan keperluan industri pembinaan sehingga memberi kesan buruk terhadap alam sekitar.

"Ini akan memberi impak negatif kepada generasi akan datang yang bakal berhadapan dengan situasi kekurangan batu semula jadi untuk kegunaan industri pembinaan," katanya.

Jelasnya idea menghasilkan produk inovasi itu tercetus daripada hasrat kerajaan yang semakin bergerak ke hadapan untuk aplikasi teknologi hijau dan usaha menguruskan sisa buangan industri kelapa sawit dengan efisien.

"Malaysia adalah antara pengeluar terbesar minyak sawit di dunia dan industri ini banyak menjana sisa pepejal. Tempurung kelapa sawit dan abu terbang kelapa sawit adalah antara sisa tersebut.

"Pembuangan abu terbang kelapa sawit di tapak buangan menyebabkan pencemaran alam. Memang kita ada konkrit biasa untuk pembinaan, tetapi adalah lebih baik sekiranya kita menggunakan konkrit ringan yang mesra alam.

"Setakat ini, belum ada lagi konkrit ringan yang dhasilkan dengan mencampurkan dua jenis sisa buangan industri, itulah kelainan konkrit ringan yang kami hasilkan," katanya.

Katanya, abu terbang kelapa sawit yang digunakan sebagai bahan gantian simen lebih mesra alam serta berkeupayaan meningkatkan kekuatan dan lebih tahan lasak berbanding konkrit biasa menggunakan simen sepenuhnya.

"Kajian menunjukkan sekiranya kita menggunakan sedikit abu ini, ia akan meningkatkan kekuatan konkrit ringan.

"Konkrit ringan ini hanya menggunakan simen 80 peratus manakala 20 peratus lagi digantikan dengan abu terbang kelapa sawit. Harganya 30 peratus jauh lebih murah berbanding konkrit sedia ada.

"Ini kerana ia tidak mengandungi agregat semula jadi yang perlu dibeli daripada pengusaha kuari serta mengandungi kuantiti simen yang kurang," katanya.

Menurutnya kebanyakan industri pembinaan di negara maju telahpun menggunakan konkrit ringan kerana kos yang lebih efektif, namun di Malaysia ia masih merupakan perkara baharu," katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap penggunaan bahan itu dapat dikomersialkan di negara ini sama ada dalam bentuk konkrit bancuh siap mahupun konkrit pratuang sekali gus dapat memelihara alam sekitar daripada pencemaran sisa buangan industri kelapa sawit.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Julai 2016 @ 3:31 PM