Marseille, Perancis: Penjaga gol Jerman Manuel Neuer (gambar) berkata kekalahan 0-2 kepada Perancis di Euro 2016 sangat pahit untuk ditelan bagi juara dunia itu susulan keputusan penalti kontroversi.

Pemain terbaik perlawanan Antoine Griezmann menjaringkan dua gol untuk membawa Perancis mengesahkan tempat di final Euro 2016, menentang Portugal.

“Kami bermain baik di kejohanan ini tapi tersingkir dan hakikat ini sangat pahit untuk diterima. Ini adalah separuh akhir, tiada ada apa yang lebih bodoh daripada tersingkir seperti itu dan ini bukan keputusan yang adil.

“Amat pahit apabila anda memasuki masa rehat seperti itu, tapi anda masih boleh kembali.”

Perancis menjaringkan penalti pada masa kecederaan separuh masa pertama untuk mendahului.

“Kami gagal mendapatkan gol dan pasukan lawan pula sangat kebal. Pendahuluan 1-0 itu membuatkan segala-galanya mudah untuk Perancis,” katanya.

Selepas menjaringkan gol menerusi sepakan penalti kontroversi pada separuh masa pertama apabila bola terkena tangan Bastian Schweinsteiger, Griezmann meletakkan keputusan itu semakin sukar buat Jerman apabila menjaringkan gol kedua selepas rehat.

Walaupun kecewa, Jerman mengekalkan rekod mengagumkan apabila mara ke separuh akhir keempat daripada enam kejohanan utama sebelum ini. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Julai 2016 @ 5:42 AM