GRIEZMANN (kanan) berjaya meledak dua gol untuk membantu Perancis menumpaskan Finland 2-0. FOTO AFP
GRIEZMANN (kanan) berjaya meledak dua gol untuk membantu Perancis menumpaskan Finland 2-0. FOTO AFP
AFP

Paris: Penyandang juara, Perancis berjaya menumpaskan Finland 2-0 dalam kelayakan Piala Dunia awal pagi tadi hasil dua gol Antoine Griezmann untuk menamatkan kemarau kemenangan di peringkat antarabangsa dalam lima perlawanan berturut-turut.

Dalam aksi lain, Portugal dan Belanda terus berada pada landasan terbaik untuk layak ke Piala Dunia di Qatar tahun depan, apabila Memphis Depay meledak hatrik bagi membantu negaranya membelasah Turki 6-1.

Perancis penuh bersemangat di depan 57,000 penyokongnya di Lyon di mana Griezmann berjaya membentuk gandingan mantap bersama Karim Benzema.

Hantaran Benzema menggunakan bahagian belakang kaki berjaya menemui Griezmann di dalam petak penalti sebelum melakukan penyudah sempurna pada minit ke-25.

Griezmann meledak gol antarabangsa yang ke-41 apabila berjaya menumpaskan penjaga gol Finland, Lukas Hradecky di depan pintu gol pada minit ke-54 bagi membolehkan Perancis mencatat kemenangan 2-0.

Selepas aksi mengecewakan apabila seri 1-1 dengan Ukraine dalam perlawanan terakhir mereka, kemenangan berkenaan mampu menaikkan semula semangat Perancis selepas tersingkir di Euro di peringkat 16 terakhir.

"Kami tidak beraksi dengan baik namun kami berjaya meningkatkan semula keyakinan. Peluang kami terletak pada tangan kami sendiri dan perlu menyelesaikan tugasan ini pada November depan," kata jurulatih Perancis, Didier Deschamps.

Belanda pula ternyata berada pada kelas tersendiri ketika berdepan Turki apabila ledakan hatrik Depay membolehkan penyerang Barcelona itu mengumpul 33 gol di peringkat antarabangsa setakat ini.

Mereka mendahului 3-0 pada separuh masa pertama dan Turki sukar untuk bangkit semula apabila pertahanan Leicester, Caglar Soyuncu diperintah keluar pada apabila menerima kad kuning kedua sebelum rehat.

Pasukan bimbingan Louis Van Gaal berada di tangga teratas Kumpulan G hasil kelebihan jaringan untuk berada di atas Norway yang membelasah Gibraltar 5-1 dibantu dengan ledakan hatrik Erling Braut Haaland.

Portugal pula tidak terasa kehilangan Cristiano Ronaldo yang digantung perlawanan tatkala Bernardo Silva berjaya meledak gol pembukaan pada minit ke-26 sebelum Andre Silva menambah jaringan kedua lima minit kemudian di Baku.

Penyerang Liverpool, Diogo Jota melengkapkan kemenangan Portugal hasil tandukan pada separuh masa kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 September 2021 @ 9:29 AM