BERNAMA

Cyberjaya: Kes demam campak di Selangor bagi suku pertama tahun ini meningkat susulan ibu bapa menolak suntikan vaksin dan imunisasi untuk anak mereka.

Pengarah Kesihatan negeri Datuk Dr Zailan Adnan berkata, 403 kes demam campak dilaporkan di negeri itu pada suku pertama tahun ini berbanding hanya 23 kes pada 2014 dan 498 kes tahun lalu.

"Keengganan ibu bapa mendapatkan suntikan vaksin dan imunisasi bagi anak mereka menyumbang kepada peningkatan kes measles (demam campak) di negeri ini," katanya pada sidang media selepas forum terbuka Adakah Suntikan Vaksin Selamat?" di Cyberjaya University College of Medical Sciences, di sini hari ini.

Bliau berkata lebih 500 kes penolakan suntikan vaksin dan imunisasi dilaporkan di seluruh negara dalam Januari hingga Mac tahun ini, yang agak membimbangkan kerana menunjukkan trend peningkatan mendadak berbanding 1,541 kes penolak sepanjang tahun lalu.

“Di Selangor sendiri dalam suku pertama tahun ini, 29 keluarga menolak suntikan vaksin kepada anak mereka dengan pelbagai alasan, termasuk kesan sampingan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Julai 2016 @ 5:53 PM