FOTO dirakam Abd Alateef Mirza di hadapan Kaabah.
FOTO dirakam Abd Alateef Mirza di hadapan Kaabah.
Nor Hanisah Kamaruzaman


Ramadan yang dirai umat Islam seluruh dunia sentiasa dismbut dengan meriah mengikut latar tempat dan budaya masing-masing.

Bagaimanapun, jarang dapat kita lihat dan hayati keindahan sambutan Ramadan di negara seperti Palestin dan Bosnia Herzegovina.

Penulis berkesempatan menghayati erti Ramadan dan keindahan bulan mulia ini dalam pameran fotografi bertajuk ‘Menghayati Semangat Ramadan’.

Pameran kolaborasi Muzium Kesenian Islam Malaysia (MKIM) dan StudioBasel itu menjadi platform bagi jurugambar seluruh dunia berkongsi warna-warni sambutan Ramadan melalui pertandingan fotografi anjuran StudioBasel yang berpangkalan di Amerika Syarikat.

MKIM antara institusi terpilih dari serata dunia menganjurkan pameran yang mengetengahkan hasil karya peserta pertandingan fotografi, Ramadan tahun lalu.

Kurator MKIM Izuan Fadzli Mohammad berkata, pameran itu memberi peluang kepada masyarakat berkongsi budaya, seni bina dan semangat kerohanian ketika menyambut Ramadan.

“Dalam edisi sebelum ini, pameran mendapat tempat bukan saja dalam kalangan komuniti fotografi, malah pelancong asing yang ingin memahami budaya unik yang jarang diketahui umum dan hanya wujud pada Ramadan.

“Inisiatif ini turut menjadi platform antarabangsa bagi jurugambar seluruh dunia berkongsi keindahan Islam melalui kesenian, seni bina serta kepelbagaian budaya,” katanya.

Sebanyak 56 karya seni yang dipamerkan dihasilkan jurugambar amatur, profesional dan jurugambar seni dari lebih 60 negara termasuk Malaysia.

Menurut Izuan, MKIM turut menerbitkan katalog khas mengandungi lebih 300 foto daripada edisi pameran sebelumnya dan hasil karya pemenang pertandingan fotografi itu yang bermula sejak 2011.

Sempena pameran itu, MKIM turut menganjurkan program khas berkaitan Ramadan serta aktiviti pendidikan untuk kanak-kanak pada setiap hujung minggu.

Pameran berlangsung di Galeri Terbuka sehingga 31 Ogos dan sebarang maklumat lanjut layari www.iamm.org.my.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Julai 2016 @ 5:06 AM