CHANG Fee Ming menggunakan warna air dalam Friday.
CHANG Fee Ming menggunakan warna air dalam Friday.
Oleh Siti Salmiah A Hamid

Kalangan peminat seni kontemporari di Kota Kinabalu, Sabah menikmati peluang yang jarang diperlihatkan apabila 30 karya seni yang dipilih daripada Koleksi Seni PETRONAS di Galeri PETRONAS menerusi pameran Pertumpuan: Senusa Sejiwa diadakan di Balai Seni Lukis Sabah sehingga November ini.

Pameran terbabit berfungsi sebagai wadah bagi mengiktiraf dan meraikan bakat seni tempatan, falsafah yang menyokong prinsip Galeri PETRONAS iaitu Seni untuk Semua Orang.

Pameran Pertumpuan: Senusa Sejiwa turut mempamerkan beberapa karya seni terkenal anak jati Sabah seperti Awang Damit Ahmad dan Yee I-Lann.

Karya Awang menerusi Iraga Sesauk (2007) dan Yee I-Lann melalui karya Kinabalu Series: Huminodun (2007) dan Kinabalu Series: Anak Negeri (2007) antara yang terpilih dan turut dipamerkan.

Selain daripada artis terkemuka dari Sabah, sentuhan karya seni Yeo Suh Chan, Bangie a/k Embol, Raphael Scott Ahbeng dan Tsai Horng Chung, Datuk Sharifah Fatimah Syed Zubir, Datuk Syed Ahmad Jamal, Ivan Lam, Johan Marjonid, Yong Mun Sen, Haron Mokhtar dan Nadiah Bamadhaj juga dipamerkan.

"Pameran itu menggalakkan dan menyemai minat pelukis tempatan bagi membina bakat dengan mempamerkan kerja seni artis terkenal yang memiliki semangat dan bakat negara.

"Ia adalah satu percubaan untuk menyatakan nilai-nilai kemanusiaan daripada warisan budaya kita dan hubungan dengan sejarah lalu, geografi dan politik melalui ungkapan patriotik 'senusa sejiwa'.

"Seni sememangnya alat yang berkuasa bagi mengabadikan dan mengekalkan warisan budaya masyarakat untuk generasi akan datang. Ia membolehkan penonton, terutamanya generasi muda bagi menyaksikan keindahan alam semula jadi warisan berharga dan meneroka perkembangan sejarah, budaya, sosial dan ekonomi di Malaysia," kata Pengarah Galeri PETRONAS, Rosli Abdul Rahim.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Oktober 2014 @ 3:20 AM