HASIL seni murid SK Mantin yang dipamerkan.
HASIL seni murid SK Mantin yang dipamerkan.

Seni adalah proses bagi individu berimaginasi untuk mendapatkan inspirasi dan diluahkan dalam penghasilan karya supaya terlihat indah dan menarik.

Bagi tujuan membudayakan seni, Panitia Pendidikan Seni Visual SK Mantin, Negeri Sembilan, menganjurkan Pameran Apresiasi Seni peringkat sekolah itu, baru-baru ini.

Pameran dua hari itu bertujuan menghargai karya seni dihasilkan murid SK Mantin selain menjadi aktiviti bermanfaat bagi warga sekolah mendekati dan menghayati karya seni.

Pameran hasil karya seni murid yang dihimpun daripada 12 aktiviti sepanjang tahun itu dianjurkan bersama Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka (FSSR)Universiti Teknologi MARA (UiTM), Kampus Alor Gajah dan turut dihadiri Guru Besar SK Mantin Ariffin Ismail.

Antara aktiviti lain turut dijalankan ialah bengkel batik bersama Cikgu Ismail Batik dari Kuala Lumpur.

Semua aktiviti yang disusun mendorong murid berfikiran kreatif dan mencetuskan minat menceburkan diri dalam bidang seni apabila tamat persekolahan.

Ketua Projek Asniza Mohd Sani berkata, program kesenian itu memberi pendedahan kepada murid menguruskan pameran selain menghargai karya seni dan mendapat maklumat mengenai peluang melanjutkan pelajaran dalam bidang itu.

“Ini antara usaha mendidik murid mencintai seni dan pada masa sama memupuk semangat kerjasama dan meningkat­kan keyakinan individu ataupun kumpulan.

“Pameran ini membuka pintu kepada murid menzahirkan idea melalui pelbagai sumber kajian dan teknologi, seterusnya meng­aplikasikan pengetahuan dan kefahaman mereka.

“Murid turut diberi peluang menghubung kait seni dengan disiplin ilmu yang lain seperti kehidupan, sejarah seni dan budaya,” katanya. Program turut dihadiri pensyarah FSSR UiTM Alor Gajah dan pelakon Zalif Sidek. - Nor Hanisah Kamaruzaman

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 November 2016 @ 2:03 PM