SELEPAS pergolakan di Cotabato, Filipina.
SELEPAS pergolakan di Cotabato, Filipina.
KANAK-KANAK perempuan pelarian Syria mengambil air di kem bantuan.
KANAK-KANAK perempuan pelarian Syria mengambil air di kem bantuan.
Teks dan gambar Nor Hanisah Kamaruzaman

Jurufoto The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) Mohamed Sairien Mohamed Nafis berpeluang mengadakan pameran solo pertamanya yang menampilkan foto yang dirakam sepanjang lebih 10 tahun dalam bidang berkenaan.

Pameran diberi nama ‘Sairien Nafis of Life and Living’ itu mempamerkan 32 foto yang dipilih khas sesuai dengan tema dan menggambarkan mengenai kehidupan manusia

“Gambar terpilih adalah daripada ribuan gambar yang pernah saya rakam ketika tugasan dan ia foto paling sesuai dengan temanya iaitu hidup dan kehidupan,” katanya.

Pameran tiga minggu itu menampilkan karyanya dalam dunia fotografi yang menceritakan mengenai kehidupan seperti kes kemalangan, bencana alam dan peperangan.

Antara fokus pameran itu menampilkan kesan bencana alam dan enam foto terbaik dipilih daripada foto kejadian gempa bumi dan tsunami di Jepun pada 2011.

Beliau turut menampilkan foto bencana banjir di beberapa tempat seperti Kuantan dan Kuala Lumpur serta gambar pergolakan di Cotabato, Filipina.

Namun, foto yang menarik perhatian penulis ialah gambar seorang juruterbang pelatih yang cedera parah di muka selepas terbabit nahas di Ulu Yam kerana ia seolah-olah dirakam di studio, bukannya di hutan.

Menurut Sairien, bertugas sebagai jurugambar akhbar tidak menghalangnya menghasilkan karya seni kreatif kerana tugasan yang diberikan menjadi peluang terbaik kepadanya untuk mendapatkan ilham.

“Moto saya ialah ‘Creative Art in Photojournalism’. Setiap kali saya mengambil gambar, itulah masanya untuk saya menghasilkan seni, bukan sekadar rakam gambar untuk kerja semata-mata. Saya gunakan peluang itu untuk mencari ruang kreatif dalam seni fotografi,” katanya.

Pameran yang berlangsung sehingga 27 November depan diadakan di Lobi Balai Berita NSTP, Jalan Riong, Kuala Lumpur dan orang ramai dijemput hadir kerana masuk percuma.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 November 2015 @ 2:46 PM