Agensi

Istanbul: Serangan bom terhadap Lapangan Terbang Ataturk yang membunuh 36 orang manakala 147 lagi cedera pagi tadi, dilakukan tiga penyerang bom nekad dengan melepaskan tembakan rambang ke arah orang ramai sebelum meletupkan diri mereka.

Daily Mail melaporkan tiga penyerang terbabit dipercayai datang ke lapangan terbang dengan teksi dan apabila ditahan anggota keselamatan ketika pemeriksaan mesin x-ray di pintu masuk, mereka melepaskan tembakan selepas ditahan anggota keselamatan.

Menurut kenyataan polis Turki, dua penyerang meletupkan diri mereka di pintu masuk terminal selepas ditembak anggota polis manakala yang ketiga, di tempat letak kereta.

Menurut saksi, seorang anggota polis menembak seorang penyerang bersenjatakan raifal AK-47.

Dalam rakaman CCTV, penyerang itu berlari dalam terminal ketibaan sebelum dilihat jatuh akibat tembakan anggota polis dan AK-47 dipegangnya tercampak ke lantai.

Anggota polis itu menghampiri penyerang namun menyedari lelaki itu akan meletupkan bom, dia berlari menyelamatkan diri sebelum letupan kuat berlaku.

Perdana Menteri Turki Binali Yildirim berkata, petunjuk setakat ini serangan itu dilakukan kumpulan militan Negara Islam (IS) namun belum ada pihak mengaku bertanggungjawab.

Antara rakyat asing yang disahkan terbunuh ialah seorang rakyat Ukraine dan seorang dari Iran.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Jun 2016 @ 5:51 PM
Seorang penyerang ditembak polis sebelum menyedari lelaki itu akan meletupkan bom lalu berlari menyelamatkan diri.
Seorang penyerang ditembak polis sebelum menyedari lelaki itu akan meletupkan bom lalu berlari menyelamatkan diri.
Seorang penyerang bersenjatakan AK-47 dirakam CCTV.
Seorang penyerang bersenjatakan AK-47 dirakam CCTV.