PAKAR forensik melakukan siasatan di luar lapangan terbang terbesar Turkey. FOTO Reuters
PAKAR forensik melakukan siasatan di luar lapangan terbang terbesar Turkey. FOTO Reuters


Istanbul: Pengebom berani mati menyerang terminal antarabangsa lapangan terbang menyebabkan 28 terbunuh manakala 106 lagi cedera.

Gabenor Istanbul, Vasip Sahin, yang dipetik daripada Televisyen Turkey, NTV, berkata pihak berkuasa percaya sekurang-kurangnya tiga individu melakukannya.

“Siasatan masih dilakukan. Semua penerbangan beransur pulih seperti sediakala,” kata Sahin.

Laluan keluar masuk ke lapangan terbang ditutup dan beberapa ambulans dilihat bertukar ganti memasuki kawasan tragedi.

Beratus penumpang dilihat berada di luar bangunan lapangan terbang dengan ada antaranya duduk di atas rumput.

Hevin Zini, 12 tahun, yang baru tiba dari Dusseldorf bersama keluarganya kelihatan menangis kemungkinan terlampau terkejut dengan kejadian itu.

Dia memberitahu Associated Press terdapat darah di lantai dan banyak kerosakan.

Warga Afrika Selatan, Judy Favish, yang menghabiskan dua hari di Istanbul dan hendak pulang ke Dublin mendakwa terdengar letupan dan beberapa das tembakan.

Katanya, dia bersembunyi di bawah kaunter untuk beberapa ketika.

Favish kemudian menjelaskan, penumpang dibawa ke tempat makan di tingkat bawah dan diminta berada di kawasan itu lebih daripada sejam.

Pihak berkuasa berkata, mengikut laporan awal `serangan bermula dengan pemyerang melakukan melepaskan tembakan menggunakan Kalashnikov kemudian meletupkan dirinya’.

Ada juga laporan awal menyebut penyerang meletupkan bom di depan pintu masuk ke terminal antarabangsa apabila polis melepaskan tembakan ke arah mereka.

Selain itu, terdapat juga laporan penyerang meletupkan diri mereka sebelum memasuki kawasan pemeriksaan keselamatan dekat dengan pengimbas sinar-x.

Lapangan Terbang Ataturk adalah yang ke-11 paling sibuk di dunia dan menguruskan sekurang-kurangnya 61.8 juta penumpang.

Ia juga adalah lapangan terbang paling pantas membangun di dunia dengan peningkatan 9.2 peratus penumpang sepanjang 2015 dan 2014.

Syarikat penebangan terbesar beroperasi di lapanan terbang itu adalah Turkish Airlines.

Syarikat penerbangan tambang murah, Onur Air adalah yang kedua terbesar beroperasi di lapangan terbang itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Jun 2016 @ 6:48 AM