KLIA mencapai skor sempurna dalam kaji selidik ASQ yang dijalankan ACI.
KLIA mencapai skor sempurna dalam kaji selidik ASQ yang dijalankan ACI.

LAPANGAN Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LIA) dipilih sebagai antara lapangan terbang terbaik dunia dalam kategori masing-masing bagi 2021 dalam kaji selidik global Airport Service Quality (ASQ) yang dijalankan Airports Council International (ACI).

KLIA dan LIA mencapai skor sempurna 5.00 dalam kategori masing-masing iaitu lapangan terbang memberi perkhidmatan kepada lebih 40 juta pelanggan setahun dan dua hingga lima juta pelanggan setahun, kata Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dalam kenyataan.

ASQ menanda aras lapangan terbang terbaik dunia daripada segi keseluruhan kepuasan penumpang terhadap keselamatan terminal, kemudahan, perkhidmatan dan kebersihan.

Penghargaan terbaharu badan global itu akan memberi dorongan kepada MAHB untuk terus mengekalkan standard tinggi perkhidmatan terutama dengan jangkaan peningkatan penumpang selepas sempadan Malaysia dibuka semula pada 1 April 2022.

Kumpulan itu merekodkan 4.66 juta penumpang pada Februari 2022 apabila 2.54 juta penumpang atau 55 peratus disumbang rangkaian lapangan terbang tempatannya dan 2.12 juta atau 45 peratus daripada asetnya di Turki, Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen (ISG).

Di Malaysia, pergerakan trafik penumpang domestik berjumlah 2.27 juta dan antarabangsa 0.28 juta manakala ISG mencatat 1.09 juta penumpang domestik dan 1.03 juta penumpang antarabangsa.

Bagi operasi kargo, kumpulan itu merekodkan peningkatan jumlah 17.4 peratus bulan lepas yang mana 86,768 tan metrik bagi operasi kargo di Malaysia dan juga di Turki berbanding dengan tempoh yang sama tahun lepas.

Syarikat penerbangan kargo milik Malaysia, Kargo Xpress yang memulakan operasi di KLIA Jun lalu memulakan laluan baharu Kuala Lumpur–Hong Kong selain mengendali dua penerbangan kargo tempatan ke Kuching dan Kota Kinabalu.

Ia kini menawarkan perkhidmatan penerbangan harian ke Hong Kong ekoran pertumbuhan permintaan terhadap kargo udara daripada sektor e-dagang, perkhidmatan pos, penghantaran dan industri yang memerlukan perkhidmatan logistik bernilai tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Mac 2022 @ 7:01 AM