AFP

Charleston, Amerika Syarikat: Banjir yang melanda negeri West Virginia menyebabkan 23 orang terbunuh dan berpuluh-puluh lagi terkandas serta terpaksa diselamatkan dari bumbung rumah, kata pegawai kelmarin.

“Bencana ini semakin merebak dan memusnahkan harta benda. Fokus kami kini pada usaha mencari dan menyelamat.

“Saya mahu meninjau kawasan terjejas dari udara, tetapi tidak dapat berbuat demikian kerana semua pesawat digunakan untuk operasi menyelamat,” kata Gabenor West Virginia, Earl Ray Tomblin.

Pegawai di Pejabat Keselamatan Negara dan Pengurusan Kecemasan, Jessica Tice kelmarin memberitahu, angka kematian akibat bencana itu meningkat kepada 23 orang.

Antara mangsa yang terbunuh termasuk seorang budak lelaki berusia lapan tahun yang dihanyutkan arus deras akibat terjatuh ketika berjalan di tepi sungai bersama ibu dan kakaknya.

Bencana yang berpunca daripada hujan lebat itu menyebabkan lebih 100 rumah musnah dan rosak.

Sekurang-kurangnya enam daerah mengalami kerosakan yang teruk dan kira-kira 66,000 penduduk terputus bekalan elektrik.

Senator Shelley Moore Capito berkata, dia berhubung dengan Rumah Putih untuk mendapatkan pengisytiharan darurat di kawasan terjejas.

“Kami berusaha mendapatkan pengisytiharan persekutuan. Tidak dapat bayangkan sekiranya kami gagal mendapatkannya,” jelasnya.

Menurutnya, Agensi Pengurusan Bencana Persekutuan juga mula memindahkan aset di kawasan terjejas untuk memudahkan bantuan diberikan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Jun 2016 @ 5:13 AM