SUNIF (dua kanan) di majlis taklimat dan lawatan media di KKIA. FOTO Malai Rosmah Tuah
SUNIF (dua kanan) di majlis taklimat dan lawatan media di KKIA. FOTO Malai Rosmah Tuah
Ardyhansah Amat


Kota Kinabalu: Jumlah penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini meningkat 5 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Pengurus Kanan Malaysia Airport Sdn Bhd (MASB) Kota Kinabalu, Sunif Naiman berkata, KKIA mencatatkan jumlah penumpang 2.82 juta orang antara Januari hingga Mei tahun ini berbanding 2.68 pada tahun lalu.

"Ia satu perkembangan positif selepas operasi AirAsia di sini bermula Disember lalu yang mana menunjukkan peningkatan bilangan pelancong terutamanya dari luar negara.

"KKIA menerima 829,913 penumpang tahun ini, meningkat sebanyak 26.6 peratus berbanding tahun lalu," katanya kepada media selepas sesi taklimat dan lawatan media di KKIA, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, menurutnya jumlah penumpang domestik sedikit berkurangan bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini apabila mencatatkan 1.9 juta orang berbanding 2.03 juta orang bagi tempoh yang sama tahun lalu.

"Selain itu, kami juga bersedia sepenuhnya menerima peningkatan jumlah penumpang terutamanya pada musim perayaan Aidilfitri yang dijangka meningkat sebanyak 0.05 peratus berbanding 18,000 orang sehari," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Jun 2016 @ 9:14 PM