SUSPEK ketika hadir di mahkamah hari ini. FOTO Khairull Azry Bidin
SUSPEK ketika hadir di mahkamah hari ini. FOTO Khairull Azry Bidin
Fardy Bungga


PEGAWAI Eksekutif Komersial Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), Kota Kinabalu, yang direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak Selasa lalu, dibebaskan, hari ini.

Suspek yang bekerja dengan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) berusia 56 tahun itu dibebaskan dengan ikat jamin RM8,000 berserta wang deposit RM5,000 dan dua penjamin tempatan.

Majistret Cindy Mc Juce Balitus turut memerintahkan suspek melapor diri setiap bulan di pejabat SPRM.

Pegawai berkenaan yang ditahan Isnin lalu di Pejabat SPRM Kota Kinabalu, direman untuk membantu siasatan membabitkan kes rasuah bagi kelulusan tapak sewaan.

Lelaki itu didakwa menerima suapan antara RM500 sehingga RM4,500 bagi setiap kelulusan tapak sewaan yang berjumlah keseluruhan RM36,500.

Pembayaran dikatakan dibuat dengan memasukkan wang dalam akaun sebuah bank milik pegawai berkenaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang tinggi, jika sabit kesalahan.

SPRM diwakili oleh Pegawai Penyiasat, Mohd Faizal Abdul Razak manakala suspek diwakili peguam PJ Pareira dan Ariel Dasan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Ogos 2018 @ 2:46 PM