GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Fuad Hadinata Yaacob


Shah Alam: Tiga lelaki parah ditetak, ditembak dan dilanggar selepas diserang sekumpulan lelaki di Pangsapuri Rimba Jaya Seksyen 16 di sini, kira-kira 3 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, tiga lelaki berusia 22, 53 dan 66 tahun itu diserang suspek yang dikatakan tidak berpuas hati selepas perbuatan rakan suspek untuk menyamun motosikal di pangsapuri itu disedari penduduk.

Beliau berkata, seorang lelaki dilihat penduduk cuba melarikan motosikal sebelum suspek dikejar namun suspek datang semula ke kawasan itu bersama beberapa lelaki dan menyerang tiga lelaki termasuk pengawal keselamatan.

"Mangsa pertama yang berusia 53 tahun mengalami kecederaan akibat terkena tembakan di pinggang selain ditetak di kepala manakala mangsa kedua berusia 66 tahun juga ditetak di kepala.

"Lelaki berusia 22 tahun parah di kaki kanan dan ketiga-tiganya kini dirawat di hospital dan dilaporkan dalam keadaan stabil," katanya.

Shafien berkata, siasatan Unit Forensik dan Unit K9, polis menemui kesan darah di tempat kejadian selain pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

"Polis juga sudah menahan dua lelaki awal pagi ini ketika kedua-duanya datang ke Balai Polis Seri Muda untuk membuat laporan.

"Kedua-dua lelaki berusia antara 20 hingga 29 tahun dan berasal dari Klang itu kini ditahan untuk membantu siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Ogos 2016 @ 7:58 PM