Oleh Fuad Hadinata Yaacob


Shah Alam: Polis meminta saksi kejadian dua remaja yang mendakwa dibelasah jiran rakan mereka iaitu bekas pegawai polis bergelar Datuk dalam kejadian di Seksyen 8 dekat sini Jumaat lalu tampil membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, pihaknya masih mencari saksi terutama mengenai dakwaan Datuk berkenaan melepaskan tembakan.

Beliau berkata, pihaknya menerima laporan mengenai bekas pegawai polis itu melepaskan tembakan ke udara namun sehingga kini tiada saksi tampil.

"Sehingga kini 11 saksi sudah diambil kenyataan untuk membantu siasatan dan kita sudah mengambil pistol milik bekas pegawai polis berkenaan bersama peluru dan dihantar ke makmal forensik.

"Siasatan di lokasi kejadian tidak menemui sebarang kelongsong peluru," katanya pada sidang media di sini tadi.

Beliau berkata, pihaknya juga sedang menunggu laporan perubatan daripada hospital bagi mengetahui punca kecederaan yang dialami dua remaja berkenaan yang mendakwa cedera akibat dibelasah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Ogos 2015 @ 7:29 PM