KENDERAAN yang terbabas. FOTO Mohammad Ishak
KENDERAAN yang terbabas. FOTO Mohammad Ishak
Mohammad Ishak


Permaisuri: Wanita maut manakala anak dan dua adiknya parah apabila kenderaan dinaiki terbabas ke dalam parit di Kampung Air Sejuk, di sini, 9 pagi tadi.

Mangsa yang maut itu dikenali sebagai Siti Sazwani Mamat, 29, dari Kampung Padang Luas dekat sini dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Anak mangsa, Asiah Adam Mokri, 3, yang patah kaki dan tangan kini menerima rawatan lanjut di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.

Sementara itu, dua adik Siti Sazwani, Sukri, 18, dan Norafizah, 21, yang cedera terpaksa dikejarkan ke Hospital Setiu untuk rawatan lanjut.

Kejadian dipercayai berlaku ketika Siti Sazwani yang memandu kenderaan itu dalam perjalanan dari Jertih ke Kampung Chalok, Setiu.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superentandan Elias Abu Bakar berkata, mangsa yang juga seorang peniaga dipercayai mengantuk menyebabkan kereta yang dipandunya gagal dikawal sebelum terbabas.

Menurutnya, kesemua mangsa itu dikejarkan ke Hospital Setiu dengan ambulans Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Jun 2016 @ 5:00 PM