PENYOKONG pasukan England bertempur dengan penduduk tempatan di Marseille.
PENYOKONG pasukan England bertempur dengan penduduk tempatan di Marseille.
Agensi

Marseille: Dua malam dengan gas pemedih mata, kaca dari botol yang pecah dan peminat yang mabuk akibat terlalu banyak minum arak di bandar ini menjadi peringatan kepada penganjur kejohanan Euro 2016 bahawa tabiat lama memang sukar dihapuskan.

Perancis yang berusaha mengekang serangan pengganas ketika kejohanan itu berlangsung, berdepan dengan kumpulan samseng yang mencetuskan kekacauan lebih awal, sebelum perlawanan pertama dimulakan lagi.

Perlawanan England-Russia malam tadi adalah antara lima yang dilabelkan sebagai ‘berisiko tinggi’ oleh pihak berkuasa Perancis.

Malah, operasi perisikan polis tidak dapat menyekat kekacauan yang dicetuskan kumpulan berkenaan.

Kira-kira 250 penyokong England bertempur dengan remaja Perancis dan kemudian bertempur pula dengan polis malam kelmarin.

Dua puluh empat jam kemudian, di kawasan sama, polis Perancis terpaksa memisahkan puluhan penyokong England dan Russia.

Botol dan objek lain dilontar ke arah polis Perancis yang bertindak balas dengan melepaskan gas pemedih mata.

Ada penyokong yang duduk sahaja di kaki lima, untuk menghabiskan arak mereka.

Malam berakhir dengan ratusan penyokong yang mabuk dan tanpa baju, berdiri sambil gelas bir di tangan, mengejek polis Perancis yang berdiri di seberang jalan.

Dalam satu kenyataannya, Persatuan Bola Sepak England berkata: “Kami kecewa dengan kekacauan di Marseille dan mengecam kejadian di sana.”

Ini bukan kali pertama penyokong England berkelakuan buruk di Marseille.

Pada kejohanan Piala Dunia 1998, polis terpaksa menggunakan meriam air untuk menyuraikan penyokong England selepas mereka terbabit dalam pergaduhan dengan penyokong Turki.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Jun 2016 @ 10:51 AM