MOHD Irwan Serigar Abdullah. FOTO arkib NSTP
MOHD Irwan Serigar Abdullah. FOTO arkib NSTP
Hayati Ibrahim


Putrajaya: Kedudukan hutang kerajaan Persekutuan dijangka terus berkurang kepada sekitar 53 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah berkata, ia berikutan langkah konsolidasi fiskal yang berterusan dan pindahan sebahagian hutang berkaitan skim pinjaman perumahan penjawat awam kepada Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA).

"Kerajaan juga akan sentiasa memastikan keperluan pembiayaan serta obligasi bayaran khidmat hutang dilaksanakan pada kos yang minimum.

"Defisit kerajaan Persekutuan pada 2015 adalah pada 3.2 peratus daripada KDNK dan dijangka terus berkurang kepada 3.1 peratus tahun ini,"katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Irwan berkata, selain mengurangkan paras defisit secara berperingkat, langkah konsolidasi fiskal akan turut mengurangkan paras hutang.

Katanya, artikel yang disiarkan oleh Nikkei Asian Review pada 3 Jun lalu berkaitan kedudukan hutang negara didapati tidak berasas.

"Kerajaan komited dalam memastikan kedudukan hutang tidak melebihi paras berhemat iaitu 55 peratus daripada KDNK.

"Sehingga akhir 2015, hutang kerajaan Persekutuan yang merangkumi hutang domestik serta hutang luar pesisir adalah RM630.5 bilion atau 54.5 peratus daripada KDNK," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Jun 2016 @ 4:03 PM