myMetro

Melaka: Penyerang skuad Bawah 21 negara Syamie Iszuan Amin, 21, mengakui kecewa selepas tewas di tangan pasukan B-21 Thailand 1-2 pada final Piala Negara-Negara di Stadium Hang Jebat, malam kelmarin.

Jelas pemain Liga Super Sarawak itu, jaringan penyamaan yang disumbangkannya pada minit ke-35 seolah-olah tidak bermakna tatkala melihat skuad Gajah Perang gembira membawa pulang trofi itu.

“Kecewa memang ada terutama selepas kami berusaha memburu gol penyamaan tapi kemudiannya kami melepaskan peluang untuk bergelar juara.

“Bagi saya kekalahan ini cukup pahit kerana sekiranya kami berjaya menewaskan mereka ia dapat menaikkan motivasi kami menjelang Sukan SEA tahun depan.

“Namun apakan daya, mungkin kami tak ada rezeki kali ini dan saya harap ia akan menjadi pengajaran berguna buat pasukan,” katanya yang mencetak dua gol sepanjang kejohanan itu.

Sebaik selepas tugasan di Melaka, skuad kendalian Frank Bernhardt akan terbang ke Jepun esok untuk menempuh tiga aksi persahabatan bertemu kelab di sana hingga hujung bulan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Jun 2016 @ 10:46 AM