PEMAIN  Skuad Projek 2017 bakal terima cabaran sebenar.
PEMAIN Skuad Projek 2017 bakal terima cabaran sebenar.
myMetro

Kuala Lumpur: Skuad Projek Sukan SEA 2017 bakal berdepan lawan sebenar untuk menguji kemampuan sebenar mereka apabila pasukan pencabar rantau ini Thailand, Singapura dan Vietnam menyatakan kesediaan berentap di Kejohanan Piala Negara-Negara (Nations Cup) 2016 di Stadium Hang Jebat, Melaka.

Sebelum ini skuad kendalian Frank Bernhardt itu mengharungi aksi persahabatan menentang skuad Filipina B-22 dengan kemenangan 4-1 dan seri 1-1 ke atas skuad kebangsaan Nepal.

Menurut Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Amin, kehadiran pasukan seperti juara Sukan SEA Singapura tahun lalu Thailand bukan saja dinantikan pasukan muda negara malah peminat tempatan.

“Piala Negara-Negara menjanjikan cabaran besar buat pasukan muda negara. Pemain akan berdepan lawan sukar terutamanya dari Thailand, Vietnam dan Singapura, yang akan membentuk persiapan pasukan kebangsaan bagi Sukan SEA.

“Kejohanan ini adalah permulaan dalam perancangan kami buat pasukan bimbingan Frank Bernhardt,” katanya.

Edisi pertama Piala Negara-Negara 2016 anjuran agensi sukan MP & Silva akan berlangsung selama tiga hari bermula 3 Jun ini dengan format dua pasukan teratas mara ke final selepas tamat perlawanan pusingan pertama.

Thailand, Singapura dan pemenang pingat gangsa Sukan SEA 2015 Vietnam akan menurunkan skuad B-21 tahun mereka.

Presiden Persatuan Bola Sepak Thailand Polis Jeneral Somyos Pumpanmuang, berkata Piala Negara-Negara 2016 bakal menjadi pentas terbaru untuk pendedahan skuad remaja.

“Kami gembira kerana dijemput menyertai kejohanan ini yang memberi peluang pasukan pembangunan remaja kami bersaing dan berkembang ke tahap elit. Kami berharap akan dapat menyertai kejohanan ini untuk jangka masa panjang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 April 2016 @ 7:41 AM