AFP

Barcelona: Valentino Rossi mencerahkan kembali prospek untuk merebut gelaran juara dunia apabila mengungguli Grand Prix Catalunya semalam pada perlumbaan yang diselubungi perasaan sayu susulan tragedi yang meragut nyawa Luis Salom.

Rossi mempamer tunggangan meyakinkan terutama di pusingan terakhir sementara Marc Marquez yang bermula di petak pertama menamatkan perlumbaan di kedudukan kedua untuk mendahului kedudukan keseluruhan pelumba.

Jorge Lorenzo yang pada awalnya muncul pendahulu kedudukan pelumba, gagal menamatkan perlumbaan selepas mengalami kemalangan dengan Andrea Iannone.

Marquez kini mendahului dengan mengumpul 125 mata sementara Lorenzo 115 mata untuk tempat kedua dan Rossi ketiga dengan 103 mata.

Salom mengalami kemalangan maut selepas terbabas pada sesi latihan bebas, Jumaat lalu.

Seperti Johann Zarco yang mengungguli Moto2 serta Jorge Navarro untuk Moto3, Rossi turut mendedikasikan kemenangan itu kepada Salom.

Salom hanya berusia lapan tahun apabila Rossi muncul juara dunia buat kali pertama pada 2000.

Rossi yang berusia 37 tahun, meraih kemenangan ke-114 sepanjang kariernya selepas mengerah segala kudrat dan kemahiran untuk mengatasi cabaran sengit Marquez.

Di sebalik suasana sayu, Rossi dan Marquez dilihat berjabat tangan buat kali pertama selepas kedua-duanya bermusuh dan mencetuskan kontroversi tahun lalu.

“Kemenangan ini amat bermakna dan salah satu yang terbaik dalam karier saya. Kemenangan ini untuk Salom dan keluarganya.

“Saya sedar perlumbaan hari ini (semalam) sangat sukar kerana apabila saya berada di depan, sukar untuk menjarakkan diri dengan Marquez,” ujarnya.

Rossi muncul juara buat kali ketujuh di Litar Catalunya dan yang pertama sejak kali terakhir pada 2009.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Jun 2016 @ 8:04 AM