AP

Misano, Itali: Dani Pedrosa mempamerkan tunggangan mengagumkan untuk menguasai litar Misano dan mengungguli Grand Prix San Marino biarpun bermula di petak kelapan.

Aksi perlumbaan MotoGP semalam menyaksikan Valentino Rossi terlebih dahulu menguasai perlumbaan apabila berjaya memintas Jorge Lorenzo yang bermula di petak utama yang kemudiannya mendahului perlumbaan dengan selesa hinggalah Pedrosa muncul dari belakang untuk memintas pesaing utama Marc Marquez dan Lorenzo secara berturut-turut.

Pedrosa kemudiannya berjaya memintas Rossi ketika perlumbaan berbaki tujuh pusingan untuk ditamatkan dan memenangi perlumbaan dengan kelebihan tiga saat sekali gus merangkul kemenangan keempat musim ini.

“Saya dapat berasakan saya mempunyai kelajuan dan kelebihan untuk berada di depan tapi kemudiannya Dani mendekati dan dia terlalu laju untuk dipintas,” kata Rossi selepas memberi hormat kepada penyokong tuan rumah yang kebanyakan mereka mengibarkan bendera kuning yang tertulis nombor 46.

“Ia sangat malang kerana saya terlalu inginkan kemenangan,” kata Rossi.

Lorenzo menamatkan saingan di kedudukan ketiga dan pendahulu keseluruhan MotoGP Marquez di tempat keempat.

Marquez kini mendahului Rossi dengan kelebihan 43 mata ketika saingan musim ini berbaki lima perlumbaan untuk tamat.

Lorenzo 61 mata di belakang pendahulu menghuni kedudukan ketiga keseluruhan diikuti Pedrosa keempat 78 mata di belakang Marquez.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 September 2016 @ 10:19 AM