VIVIAN (kiri) dan Khe Wei diletakkan  pilihan kedua Terbuka Thailand.
VIVIAN (kiri) dan Khe Wei diletakkan pilihan kedua Terbuka Thailand.

Kuala Lumpur: Selepas dibayangi dengan kehebatan rakan senegara, Amelia Alicia Anscelly-Soong Fie Cho, pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2014 Glasgow, Vivian Hoo-Woon Khe Wei tekad bangkit memperbaiki kedudukan ranking mereka seterusnya layak ke Sukan Olimpik 2016 Rio.

Menurut Khe Wei, mereka mensasarkan tempat 10 pasangan terbaik beregu wanita walaupun dia dibelenggu dengan masalah kecederaan betis dan lutut kaki kanan sejak kebelakangan.

“Kecederaan ini memang mengecewakan, ia tidak dijangka tapi saya harus menerimanya dan bersedia untuk kembali ke gelanggang di Grand Prix (GP) Emas Terbuka Thailand minggu depan,” katanya.

Jelasnya, mereka tidak meletakkan sasaran terlalu tinggi di kejohanan berkenaan walaupun perlu berusaha keras memperbaiki kedudukan ranking apabila sekarang ini menghuni di tempat ke-13 dunia.

“Saya tidak mahu gopoh di Thailand, jika meletakkan harapan terlalu tinggi saya gusar akan berdepan kekecewaan. Kami juga baru mendapat motivasi selepas melihat pasangan Indonesia Nitya Krishinda Maheswari-Greysia Polii berjaya meraih kejuaraan sulung Siri Super di Terbuka Korea Selatan minggu lalu.

Jurulatih beregu wanita negara, Lim Pek Siah dan Wong Pei Tty sedang berusaha membantu pasangan ini kembali digeruni termasuk menggunakan dua bekas pemain remaja lelaki menjadi rakan sepelatih mereka.

Akibat kecederaan dialami Khe Wei, pasangan negara ini tidak beraksi di Siri Super Terbuka Jepun dan Korea Selatan, namun pemain berusia 26 tahun itu sudah kembali menjalani latihan di gelanggang minggu ini.

Undian Terbuka Thailand yang dikeluarkan menyaksikan Vivian-Khe Wei yang juga pilihan kedua kejohanan akan bertemu pasangan Indonesia, Keshya Nurvita Hanadia-Devi Tika Permatasari di pusingan pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 September 2015 @ 5:11 AM