VIVIAN  (kiri) dan Khe Wei  kian serasi.
VIVIAN (kiri) dan Khe Wei kian serasi.
Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Selepas mencipta kejutan pada temasya Sukan SEA Myanmar dua tahun lalu apabila memenangi pingat emas untuk kontinjen negara, Vivian Hoo akan cuba mempertahankan emas itu pada saingan Sukan SEA di Singapura bersama gandingannya Woon Khe Wei.

Meskipun hakikatnya ia agak sukar, mengambil kira prestasi semasa mereka terutama pada saingan Piala Sudirman yang menyaksikan mereka tewas semua perlawanan, Vivian menegaskan dia serta Khe Wei akan mencuba sedaya upaya.

Bagaimanapun, Vivian sedar, harapan yang diletakkan kepadanya serta Khe Wei cukup tinggi.

“Selepas kami memenangi pingat emas dua tahun lalu, sudah pasti semua pihak mengharapkan kami untuk meraih emas sekali lagi.

“Kami tidak mahu terlalu yakin menyatakan mampu melakukannya, tetapi kami mahu pastikan dapat memenangi pingat.

“Saya sendiri tidak mahu memberikan tekanan kepada diri sendiri. Yang penting kami perlu melakukan persiapan rapi,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan semalam.

Bagi Vivian, bukan beregu Indonesia saja menjadi cabaran utama untuknya serta Khe Wei, malah cabaran pasangan Thailand serta tuan rumah juga tidak boleh dipandang mudah.

“Indonesia umpamanya mempunyai banyak pemain pelapis yang meningkat naik. Malah beregu muda mereka juga konsisten,” katanya.

Pada Sukan SEA dua tahun lalu di Myanmar, Vivian-Khe Wei menewaskan pasangan Indonesia Nitya Krishinda Maheswari-Greysia Polii pada perlawanan akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mei 2015 @ 8:03 AM