Pretoria: Seorang lelaki mati dibaham seekor buaya ketika mengutip bola golf di empangan digelar Lake Panic di kawasan rizab hidupan liar terkenal Afrika Selatan.

Jacques Van der Sandt (gambar), 29, diserang reptilia itu dan diheret ke bawah permukaan air di padang golf berhampiran kawasan kediaman kakitangan di dalam Taman Negara Kruger.

Pegawai taman negara itu berkata, buaya itu dibunuh renjer manakala mayat Van der Sandt yang juga anak kakitangan di situ ditemui dengan luka pada badannya.

Anggota polis Oubaas Coetzer berkata, mangsa yang berdiri dalam air setinggi paras pinggang tunduk untuk meraba dasar tasik berkenaan bagi mencari bola golf.

“Dia dicabar rakannya untuk mencari sebanyak mana bola golf di situ,” katanya.

Menurutnya, Van der Sandt kerap bermain golf di situ malah membesar di taman berkenaan kerana ibu bapanya bekerja di Kruger. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Disember 2014 @ 5:01 AM