EVENEPOEL (kiri) meraikan kejayaan bersama rakan sepasukan.
EVENEPOEL (kiri) meraikan kejayaan bersama rakan sepasukan.
Reuters

Madrid: Pelumba Belgium, Remco Evenepoel menyasarkan kejuaraan Tour de France (TdF) dan Giro d'Italia selepas merangkul gelaran Vuelta a Espana semalam yang juga kemenangan Jelajah Utama pertamanya.

Pelumba berusia 22 tahun itu mengesahkan kejayaan selepas mengetepikan pencabar terdekat Enric Mas di peringkat ke-20 kelmarin dan menamatkan perlumbaan dengan kayuhan bertenaga pada peringkat terakhir antara Las Rozas ke Madrid.

Pelumba Quick-Step Alpha Vinyl itu muncul pelumba Belgium pertama menang Jelajah Utama sejak Johan De Muynck di Giro d' Italia 1978 dan menjadi juara termuda Vuelta sejak Angelino Soler pada 1961.

"Menjuarai semua tiga Jelajah Utama menjadi impian terbesar saya," kata Evenepoel selepas tamat perlumbaan.

"Saya di sini dengan jersi merah, jadi saya fikir saya boleh turut menyerlah di Jelajah Utama. Saya fikir ia bagus untuk masa depan dan keyakinan saya.

"Kini kami akan melihat kembali persiapan sebelum Vuelta dan menjadi panduan sebagai persiapan hadapi Giro dan TdF."

Jacques Anquetil, Eddy Merckx, Bernard Hinault, Alberto Contador, Felice Gimondi, Vincenzo Nibali dan Chris Froome antara pelumba yang menjuarai ketiga-tiga Jelajah Utama.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 September 2022 @ 11:57 AM