PISTORIUS ketika mewakili Afrika Selatan dalam Sukan Olimpik London 2012.
PISTORIUS ketika mewakili Afrika Selatan dalam Sukan Olimpik London 2012.

Pretoria: Atlet pecut Paralimpik Afrika Selatan Oscar Pistorius yang dihukum penjara lima tahun kerana membunuh teman wanitanya, dibebaskan dengan parol kelmarin selepas setahun menjalani hukuman itu.

Bagaimanapun, pemenang pingat emas yang dikenali sebagai Blade Runner itu mesti menjalani baki tempoh tahanannya di rumah.

Pistorius yang membunuh teman wanitanya, Reeva Steenkamp masih perlu berdepan rayuan pendakwa raya yang mahu dia disabitkan kesalahan membunuh dan bukannya membunuh tanpa niat.

Atlet berusia 28 tahun itu didapati bersalah dengan tuduhan lebih ringan apabila melepaskan empat das tembakan menerusi pintu bilik air yang terkunci sehingga terkena teman wanitanya.

Pistorius akan menjalani parol di rumah bapa saudaranya, Arnold di pinggir Pretoria.

Pembebasan Pretoria yang kudung kedua belah kaki ketika bayi pada petang kelmarin, mengejutkan pihak media.

Sekumpulan wartawan berkumpul di hadapan rumah itu dengan harapan dapat merakam kelibat Pistorius dan mendapat ulasan daripada keluarganya.

Dia sepatutnya dibebaskan semalam tetapi diawalkan selepas mendapat kebenaran pihak berkuasa.

Pistorius dibebaskan kerana garis panduan hukuman di Afrika Selatan membenarkan tahanan tidak berbahaya menjalani seperenam daripada hukuman yang dikenakan. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Oktober 2015 @ 6:56 AM