STRYDOM (kanan) ketika membantu Afrika Selatan menjulang Piala Dunia Ragbi 1995. FOTO AFP
STRYDOM (kanan) ketika membantu Afrika Selatan menjulang Piala Dunia Ragbi 1995. FOTO AFP
AFP

Johannesburg: Pemenang Piala Dunia Ragbi Springbok 1995, Hannes Strydom maut selepas keretanya bertembung dengan sebuah bas mini di bahagian timur laut Johannesburg, kata presiden Ragbi Afrika Selatan, Mark Alexander.

Nahas yang meragut nyawa ahli farmasi berusia 58 tahun itu berlaku berhampiran bandar perlombongan arang batu eMalahleni, 140 kilometer dari ibu negara ekonomi Afrika Selatan.

"Hannes adalah salah seorang tonggak hebat generasinya dan sebagai ahli skuad Springbok dari 1995, salah seorang wira tempatan kami," kata Alexander.

Strydom mewakili Afrika Selatan sebanyak 21 kali antara 1993 hingga 1997.

Kemuncak kerjaya antarabangsanya ialah membantu Afrika Selatan mengalahkan New Zealand 15-12 selepas masa tambahan pada perlawanan akhir Piala Dunia 1995 di Johannesburg.

Dia adalah pemain kelima dari pasukan 1995 yang meninggal dunia selepas flanker, Ruben Kruger, pemain scrum half, Joost van der Westhuizen, dan pemain sayap, Chester Williams dan James Small.

Strydom mengetuai pasukan Lions yang berpangkalan di Johannesburg memenangi pertandingan domestik utama, Piala Currie, pada tahun 1999.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 November 2023 @ 12:06 PM