SARBINI (tengah) bersama peserta latihan tahunan. FOTO Siti Rohana Idris
SARBINI (tengah) bersama peserta latihan tahunan. FOTO Siti Rohana Idris
Siti Rohana Idris


Tumpat: Pengguna laluan Pantai Timur boleh merancang perjalanan untuk musim perayaan ini berikutan laluan kereta api KL Sentral-Tumpat-KL Sentral yang dibuka penghujung Jun ini.

Bagaimanapun, Presiden Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Datuk Sarbini Tijan berkata, kereta api itu akan bergerak pada setiap hujung minggu sahaja berikutan kerja naik taraf di sepanjang landasan antara Gemas ke Tumpat.

"Ini bermakna hanya empat perjalanan sahaja untuk sebulan dan kita jangka mampu tampung keperluan untuk Aidilfitri nanti.

"Perkhidmatannya nanti juga lebih santai kerana ada beberapa sektor laluan masih dalam kerja pembaikan," katanya di sini, hari ini.

Beliau terdahulu merasmikan program penutup latihan Kem SKN 4, 50 Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) di padang Stesen KTMB Tumpat.

Laluan Pantai Timur sebelum ini dihentikan sementara berikutan banjir pada 2014 yang memusnahkan landasan termasuk Jambatan Kemubu di Kuala Krai.

Bagaimanapun, kerja pembaikan yang dimulakan sejak itu memulihkan perkhidmatan secara berperingkat dengan terkini adalah jambatan berkenaan yang siap fasa pertama (menyambung semula laluan putus).

Jumlah keseluruhan kerja naik taraf infrastruktur KTMB adalah RM1.2 bilion sehingga 2019, dengan RM700 juta untuk Jambatan Kemubu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mei 2016 @ 1:20 PM