Paris: Penyanyi tenor Itali Andrea Bocelli dan diva Amerika Syarikat (AS) Alicia Keys (gambar) bakal tampil mempersembahkan nyanyian masing-masing pada majlis pembukaan Liga Juara-Juara di Milan, awal pagi esok.

Penganjur, UEFA sedang dalam proses melancarkan acara sambutan lebih panjang bagi menarik perhatian penaja seperti dilakukan ketika separuh masa babak pertandingan ragbi Amerika Super Bowl.

Persembahan serta perlawanan antara kelab Sepanyol Real Madrid dan Atletico Madrid akan disiarkan secara langsung di 220 negara.

“Satu penghormatan buat saya. Saya akan cuba menyanyi sebaik mungkin,” kata Bocelli yang baru-baru ini membuat persembahan pada sambutan ulang tahun ke-90 Ratu Elizabeth II serta keraian Leicester City selepas bergelar juara Liga Perdana Inggeris.

Sementara itu, album Alicia yang dilahirkan di New York itu terjual lebih 140 juta unit dengan beliau dijangka mengeluarkan album baru dalam tempoh terdekat.

“Saya sangat gembira menyanyi di depan lebih 80,000 penonton,” kata bintang itu dalam laman web Twitter.

Jurucakap UEFA Pedro Pinto menambah: “Peminat boleh menjangka persembahan luar biasa dan ia khas untuk menyatakan kecemerlangan yang pernah dicapai bola sepak Eropah selain semangat ditunjukkan tuan rumah, Milan.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mei 2016 @ 5:02 AM