Zainal mahu beri peluang kepada bakat baru. FOTO NSTP
Zainal mahu beri peluang kepada bakat baru. FOTO NSTP
Ramlah Zainal


Kuala Lumpur: Selepas 35 tahun mengabdikan diri dalam bidang muzik, penyanyi yang popular dengan lagu Hijau, Datuk Zainal Abidin mengumumkan dirinya akan bersara dari arena muzik tempatan.

Zainal, 57, berkata, keputusannya itu bukan kerana dia merajuk dengan industri muzik tempatan, tetapi mahu memberi peluang kepada bakat baru untuk mengembangkan bakat mereka ke luar negara.

"Bersara bukan bermaksud saya akan berhenti terus menyanyi, sebaliknya saya memperlahankan aktiviti seni untuk berehat kerana usia pun sudah meningkat.

"Namun, saya tetap akan pertimbangkan jika ada tawaran untuk membuat persembahan di luar negara selepas ini," katanya ketika ditemui di sidang media Konsert Music For Mercy di Jalan Bukit Kiara, Damansara di sini, hari ini.

Terdahulu, Zainal membuat persembahan di Konsert Music For Mercy di Roman Forum, Rome, Itali pada 26 Julai lalu. Turut sama membuat persembahan ialah penyanyi antarabangsa Andrea Bocelli dan David Foster.

Zainal berkata, dia juga merancang untuk bersara selepas menghasilkan album terakhirnya yang bertaraf antarabangsa nanti.

Diminta mengulas album terakhirnya itu, Zainal berkata, dia bakal bekerjasama dengan artis yang terbabit dalam konsert berkenaan.

"Saya ditawarkan untuk bekerjasama dengan Andrea Bocelli, The Tenors dan Federico Paciotti dalam album itu. Ia bakal diterbitkan label bertaraf antarabangsa iaitu Albien Music tetapi semuanya masih dalam proses perbincangan lagi," katanya.

Zainal berkata, dia membuat sidang media sebaik saja kembali dari Rome bukan untuk bermegah, sebaliknya mahu berkongsi pencapaiannya dengan penggiat seni tanah air.

"Selepas menjayakan konsert Music For Mercy, apa yang saya ingin beritahu sebenarnya pintu untuk penggiat seni tempatan juga terbuka luas untuk menjayakan persembahan di luar negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Ogos 2016 @ 11:19 PM