KATY tampil gah di Super Bowl 2015.
KATY tampil gah di Super Bowl 2015.
Susunan Georgie Joseph

Tahun lalu penyanyi kelahiran Hawaii, Bruno Mars meninggalkan sejarah tersendiri menakluk acara berprestij yang ditunggu ramai di Amerika Syarikat iaitu Super Bowl.

Tahun ini giliran penyanyi Fireworks, Katy Perry untuk beraksi di pentas itu dan pastinya terasa gentar di hatinya kerana ia bukan calang-calang dan dia perlu memastikan persembahannya setanding penghibur tahun-tahun sebelumnya.

Selain itu, kemunculan Katy sentiasa dinantikan peminat kerana dia antara penghibur yang kerap tampil dengan idea persembahan kreatif. Begitu juga tenaga dan aura yang disalurkannya tiada tandingan.

Lantas, beberapa bulan lalu ketika dia diumumkan bakal beraksi untuk acara itu, pelbagai reaksi menantinya sebelum dia memulakan persembahan. Bagaimanapun, rata-rata semestinya tidak sabar dan ternanti-nanti apa pula bentuk persembahan Katy kali ini.

Ternyata, penyanyi itu tidak mengecewakan apabila tampil gah menerusi persembahannya yang berwarna-warni disertai prop luar biasa selain bergandingan dengan beberapa penyanyi jemputan.

Lebih menarik perhatian apabila dia menunggang di atas replika harimau gergasi sambil menyanyi yang mana tentu sekali antara pembaharuan ditampilkan dalam persembahannya.

Selayaknya dia dilabelkan ‘superstar’ digeruni ramai kerana bijak menyusun kareografi persembahan. Berbanding penghibur sebelum ini, dimensi yang dibawa Katy berada dalam kelas tersendiri.

Turut membuat persembahan penyanyi popular Lenny Kravitz yang berduet dengannya menerusi lagu I Kissed The Girl. Katy juga sempat bergandingan dengan penyanyi rap hebat, Missy Elliot menyanyikan lagu Last Friday Night.

Berganti-ganti busana, persembahan Katy juga mendapat pujian apabila dia menampilkan penari berkostum ikan jerung dengan latar belakang seperti suasana pantai menerusi lagu Teenage Dream.

Selain lagu itu, turut dipersembahkan Katy adalah Roar, Dark Horse, California Gurls dan Firework. Missy pula sempat menyanyikan secara medley lagu popularnya termasuk Get Ur Freak On, Work It dan Lose Control.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Februari 2015 @ 8:25 AM