ZARUL
ZARUL
Najiy Jefri


“Apabila saya memperkenalkan diri sebagai Zarul, ramai peminat mengerutkan dahi tetapi jika sebut Zarul Umbrella, mereka kenal dan tahu lagu saya,” kata Zarul atau nama sebenarnya Zairulkefli Husin yang membuat kemunculan semula secara solo.

Walaupun Ramalanku Benar Belaka hampir menjangkau usia dua dekad, populariti lagu yang dinyanyikan Zarul itu masih menjadi siualan ramai.

Lagu hit album Seribu Rahmat yang dirakamkan pada tahun 1995 mengangkat Umbrella sebagai antara kumpulan paling popular, sekali gus mendaki puncak populariti.

Selepas hampir dua tahun bergerak secara solo, penyanyi berusia 42 tahun itu berasa lega kerana kehadirannya dalam industri seni tanah air semakin diterima.

“Ketika membuat kemunculan semula secara solo pada tahun 2013, saya dapati tidak ramai mengenali saya tetapi mereka tahu lagu Umbrella.

“Malah, sewaktu saya tampil dengan single duet Satu Rasa bersama Marsha pada 2014, orang masih kenal tak kenal dengan nama Zarul.

“Alhamdulillah, sewaktu saya menghadiri sebuah pertandingan nyanyian awal tahun ini, khalayak semakin mengenali saya,” katanya.

Tambah Zarul, meskipun kian dikenali dia tidak bercadang mengetepikan nama Umbrella sebagai nama pentasnya ketika bertemu peminat mahupun di laman sosial.

“Tidak salah jika saya mengekalkan Zarul Umbrella sebagai nama pentas tetapi saya akan cuba membuangnya secara perlahan-lahan bagi mengelakkan sebarang kekeliruan.

“Sebenarnya kumpulan Umbrella tidak pernah berkubur dan kami masih bersama. Malah sehingga hari ini, Umbrella masih lagi menerima undangan ke konti radio dan jemputan nyanyian.

“Cuma, masing-masing ada komitmen kerja yang perlu diutamakan. Itu yang menjadi kekangan untuk kami memberi fokus terhadap hala tuju Umbrella,” katanya yang berkhidmat sebagai pramugara dengan syarikat Penerbangan Malaysia (MAS).

Dalam perkembangan lain, Zarul kini rancak mempromosikan single terbaharunya berjudul Jangan Pernah ciptaan vokalis kumpulan Drama Band, Aepul Roza.

“Saya berharap lagu Jangan Pernah ini menjadi pembuka jalan untuk saya kembali dikenali peminat. Lagipun lagu ini sangat berbeza dengan deretan lagu yang pernah saya popularkan sebelum ini.

“Kali ini peminat dapat menyaksikan sisi berbeza saya menyampaikan lagu berentak moden pop rock. Ia sebuah lagu yang segar dan menepati kehendak pasaran,” katanya yang menghadiri kelas vokal bagi memantapkan mutu nyanyian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mei 2016 @ 10:14 AM