ERUL pada majlis pelancaran single Salahkah, baru-baru ini.
ERUL pada majlis pelancaran single Salahkah, baru-baru ini.
Ramlah Zainal


JIKA nak diikutkan, perjalanan yang dilaluinya untuk mendapat tempat dalam bidang seni tanah air cukup berliku.

Malah, penyanyi yang digilap bakatnya menerusi program realiti popular, Akademi Fantasia musim kesembilan (AF9) ini pernah hampir berputus asa untuk mengejar impian dalam bidang nyanyian.

Namun, penyanyi Erul Samah menyifatkan gelaran 'raja komen' daripada netizen buatnya turut membantu menaikkan semula nama dan populariti yang dirasa sepi dalam industri hiburan tanah air.

Menurut Erul atau nama sebenar, Khairul Najmuddin Abu Samah, 33, gelaran itu bukan saja mengubah siapa dirinya, sekali gus karier seni juga semakin berkembang sebagai pempengaruh media sosial serta 'content creator' (pencipta kandungan).

Secara peribadi, kata Erul, dia menaruh harapan peminat lebih mengenalinya sebagai penyanyi dan bukan sekadar 'raja komen' di media sosial.

"Sebenarnya saya sudah menghasilkan single Salahkah ini sekitar 2018 dan ia menjadi OST (runut bunyi) untuk drama Cinta Tanpa Henti di kaca TV.

"Tapi, sayangnya orang masih tidak kenal saya sehingga nama tular sebagai 'raja komen' di media sosial," katanya pada sidang media pelancaran single baharu, Salahkah di Sri Kembangan di sini, baru-baru ini.

Hasil single guna duit poket sendiri

Sebagai penyanyi, pastinya Erul menaruh harapan supaya peminat lebih mengenalinya dalam bidang nyanyian yang diceburi sejak dulu.

Menurut Erul, dia juga mengambil masa yang lama iaitu kira-kira lima tahun untuk muncul dengan single baharu berjudul Salahkah, sekali gus menjadi 'comeback' (kemunculan semula) dalam bidang nyanyian.

Lebih bermakna lagi, katanya, single itu juga dihasilkan bersama komposer terkenal, Helen Yap pada 2018.

"Lagu Salahkah ini terpaksa diperam kira-kira lima tahun kerana saya perlu mengumpul wang selama empat bulan untuk proses rakaman single terbabit.

"Saya juga menaruh harapan lagu ini diterima baik peminat," katanya yang menghasilkan tiga single sebelum ini iaitu Legasi Cleopatra, Manusia Biasa dan Teristimewa.

Berkongsi lanjut mengenai single Salahkah, kata Erul, lagu itu juga menceritakan hubungan percintaannya yang terputus di tengah jalan dan gagal mencapai kebahagiaan diimpikan.

"Saya tidak menafikan lagu ini ada kaitan dengan kisah percintaan saya yang gagal untuk melangkah ke fasa perkahwinan sebelum ini.

"Pada masa sama, lagu ini juga untuk mendidik masyarakat bagi menjaga perhubungan dengan insan yang kita sayang termasuk menjaga kebahagiaan dalam rumah tangga,"katanya.

Ditanya sambutan pula, Erul berkata, dia bersyukur kerana Salahkah mendapat maklum balas positif daripada peminat di media sosial.

Katanya, jika dulu, pelbagai kecaman diterima dan tiada siapa yang mahu mendengar lagu yang dihasilkannya.

"Saya pernah dikecam sebagai artis sendu dan didakwa tiada tempat dalam industri seni ketika mula buat lagu dulu.

"Ia berbeza dengan single Salahkah yang kini mendapat sambutan positif daripada peminat dengan mencatat hampir 100,000 tontonan di Instagram dan TikTok dalam tempoh dua minggu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 January 2024 @ 6:55 AM