BERNHARDT (kanan) berbincang bersama anak buahnya.
BERNHARDT (kanan) berbincang bersama anak buahnya.
myMetro

Kuala Lumpur: Selepas hampir lima bulan melakukan ‘ekspedisi’ mencari pemain berbakat, akhirnya pengendali skuad Projek Sukan SEA 2017 Frank Bernhardt mengakui sudah menemui pasukan idaman yang mampu memikul tugasan meraih ibu segala pingat pada temasya dwitahunan itu.

Bagaimanapun Bernhardt, 46, mengakui masih banyak kerja rumah yang perlu dilakukan untuk memantapkan pasukan selepas mengesan beberapa kelemahan ketika aksi persahabatan antarabangsa bertemu Filipina (Skuad Bawah 22) dan Nepal Mac lalu.

“Sebelum ini saya menghabiskan masa untuk membuat penilaian pemain dan hanya tinggal beberapa hari untuk mengumpulkan mereka bagi latihan secara berpasukan.

“Masa yang ada untuk menyiapkan pasukan agak terhad, namun melihat kepada permainan dipamerkan dalam aksi persahabatan tempoh hari, saya yakin pasukan ini memiliki kualiti tersendiri.

“Ada beberapa kelemahan dikenal pasti hasil daripada aksi bertemu Filipina dan Nepal. Saya perlu segera memperbaikinya sebelum menghadapi ujian sebenar tahun depan.

“Sebab itu saya anggap kejohanan Piala Negara-Negara di Melaka awal bulan depan amat penting untuk menilai persembahan pemain nanti,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Kelmarin, jurulatih berasal dari Jerman itu mengeluarkan senarai 24 pemain bagi menghadapi kejohanan Piala Negara-Negara yang akan berlangsung dari 3 hingga 5 Jun dengan tiga pasukan serantau sudah mengesahkan kehadiran.

Malaysia yang diundi berdepan skuad B-21 Singapura pada hari pertama kejohanan harus memastikan kemenangan berpihak kepada pasukan tuan rumah seandainya mahu melangkah ke final yang dijadualkan berlangsung dua hari kemudian.

Selain pertemuan antara Malaysia dan Singapura, aksi membabitkan pasukan B-21 Thailand dan Vietnam juga dijangka sengit dengan masing-masing memburu slot ke final.

“Saya akan cuba menggilap jentera serangan agar tampil lebih berbisa pada kejohanan itu selain memastikan barisan penyerang sentiasa mendapat sokongan bahagian tengah,” katanya.

Dalam senarai itu, beliau mengekalkan 22 daripada 29 pemain sebelum ini dengan menambah dua lagi nama membabitkan penyerang Selangor Adam Nor Azlin dan pertahanan DRB Hicom Sanjef Dinesh bagi melengkapkan senarai penuh 24 pemain.

Kesemua mereka akan melapor diri di Wisma FAM mulai Isnin ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mei 2016 @ 5:07 AM