Media Prima dinobatkan sebagai pemenang dua anugerah emas dan dua anugerah perak dari Intermedia-Globe di World Media Festival di Hamburg, Jerman, baru-baru ini.
Media Prima dinobatkan sebagai pemenang dua anugerah emas dan dua anugerah perak dari Intermedia-Globe di World Media Festival di Hamburg, Jerman, baru-baru ini.
Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: Media Prima Berhad (Media Prima), kumpulan media bersepadu di Malaysia giat mencari peluang baru bagi mengembangkan aliran hasil bukan tradisional.

Pengerusi Kumpulan Media Prima Datuk Seri Fateh Iskandar Mohamed Mansor berkata, perubahan pesat dalam industri media membuka pelbagai peluang bagi kumpulan menjana pendapatan baru, sementara menyatukan bahagian pasaran daripada hasil pengiklanan teras.

Beliau berkata, kumpulan pada tahun ini turut melancarkan beberapa usaha utama bersifat ‘Perniagaan kepada Pengguna’ seperti platform beli-belah di rumah, CJ Wow Shop, perkhidmatan video streaming diperbaharui iaitu ‘tonton’ dan penjanaan aplikasi untuk pengguna peralatan mudah alih.

“Ramalan kumpulan mengenai keadaan pasaran mendatar yang berpanjangan terbukti benar, dengan hasil pengiklanan yang sama atau rendah dicatatkan sebilangan platform media kami.

“Dalam industri media, faktor seperti pemecahan kumpulan pelanggan, kemajuan teknologi, perubahan dalam kaedah pengiklanan tradisional kepada media digital dan peningkatan persaingan daripada syarikat media global memberi cabaran kepada Kumpulan pada suku tahun pertama 2016,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Kumpulan mencatat pendapatan RM304.1 juta pada suku pertama tahun kewangan 2016, menurun sebanyak lapan peratus berbanding hasil pada suku sama tahun lalu, memandangkan hasil daripada pengiklanan teras dan jualan akhbar masing-masing menurun sebanyak lima peratus dan 23 peratus, manakala Keuntungan Selepas Cukai (PAT) pula RM17.2 juta berbanding RM19.4 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya.

Pengarah Urusan Media Prima Datuk Seri Amrin Awaluddin berkata, prospek bagi 2016 kekal mencabar berikutan sentimen pasaran mengambil langkah berhati-hati memandangkan keadaan ekonomi semasa dan kos sara hidup semakin meningkat.

“Industri menjangkakan peningkatan satu digit dalam perbelanjaan pengiklanan tahun ini di mana syarikat berusaha mengoptimumkan perbelanjaan pengiklanan dan promosi perniagaan mereka,” katanya.

Dalam kenyataan berasingan, Media Prima dinobatkan sebagai pemenang bagi dua anugerah emas dan dua anugerah perak dari Intermedia-Globe di World Media Festival berlangsung di Hamburg, Jerman.

Dua anugerah emas itu untuk dokumentari Feel Good NTV7 serta bagi acara web dan siaran secara langsung atas talian (live streaming) perlawanan akhir Piala Malaysia 2015. Dua anugerah perak Intermedia-Globe pula dimenangi bagi treler Kita Juara dan Anugerah Bella.

World Media Festival anjuran Intermedia adalah pertandingan bagi pengamal media di peringkat global dan antara acara paling berprestij dalam dunia komunikasi dan media antarabangsa memberi penghormatan serta meraikan pencapaian kemuncak di peringkat antarabangsa dalam bidang filem, penyiaran dan televisyen, akhbar, laman sesawang serta televisyen atas talian (web TV).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mei 2016 @ 7:08 AM