Douglas di samping lima trofi diterima MPTN.
Douglas di samping lima trofi diterima MPTN.
 Douglas (kanan)  mewakili MPTN menerima anugerah di   The World Media Festival 2018 yang diadakan di Jerman.
Douglas (kanan) mewakili MPTN menerima anugerah di The World Media Festival 2018 yang diadakan di Jerman.
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Rangkaian Televisyen Media Prima (MPTN) sekali lagi membuktikan keunggulannya sebagai peneraju industri penyiaran apabila memenangi lima anugerah utama di The World Media Festival 2018 yang berlangsung di Hamburg, Jerman.

Jika tahun lalu MPTN memenangi beberapa kategori utama, kali ini MPTN meneruskan kecemerlangannya apabila berjaya meraih tiga anugerah emas dan dua perak di The World Media Festival 2018.

Anugerah yang dimenangi termasuklah Intermedia-globe Gold untuk tiga kategori iaitu Dokumentari: Station Image Promotion untuk program GO GO Wonderful, Promosi Jualan: Pengurusan Acara (Golden Awards ntv7) dan Web: Pengurusan Acara & Webcasts Secara Langsung (Piala Malaysia 2017).

Tidak ketinggalan, anugerah Intermedia-globe Silver untuk kategori Berita: Station Image Promotion menerusi ABPBH 2017 dan Dokumentari: Station/Network I D (Karnival Jom Heboh 2017).

Ketua Pengarah Kreatif, Jabatan Perkhidmatan Kreatif MPTN, Douglas Khoo mewakili MPTN menerima trofi berkenaan.

Menurut Ketua Pegawai Operasi MPTN, Johan Ishak, pencapaian itu semestinya sangat membanggakan.

“Kami amat berbangga dengan anugerah ini kerana ia pengiktirafan terhadap kebolehan Media Prima menyediakan kandungan yang berkualiti dan menepati piawaian antarabangsa.

“Pastinya, ia menjadi pemangkin untuk terus berdaya saing dan berusaha memberikan yang terbaik bagi setiap program yang kami terbitkan.”

“Sebagai penyiar utama di Malaysia, kelebihan kami terletak pada warga kerja yang mampu memberi perkhidmatan dan kualiti kerja yang terbaik kepada para pengiklan. Dengan kekuatan kami menerusi platform media tradisional dan penguasaan digital yang sedang giat dijalankan ini mesej pelanggan akan dapat disebarkan dengan lebih menyeluruh.

“Pelanggan kami juga dapat menikmati kelebihan menerusi kepakaran barisan tenaga kerja kami yang sangat komited dalam melaksanakan sesebuah kempen dan menyampaikan mesej berkesan kepada pengguna,” katanya.

The World Media Festival adalah acara pengiktirafan bagi pengamal media di peringkat global dan menjadi satu daripada acara paling berprestij dalam dunia komunikasi media.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Mei 2018 @ 6:54 AM