Balai Berita Bangsar.
Balai Berita Bangsar.
Bisnes HM


Kuala Lumpur: Media Prima Berhad (Media Prima) mencatatkan keuntungan bersih RM20.8 juta bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2022 (1HFY22), meningkat 24 peratus daripada RM16.8 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya (1HFY21).

Keuntungan selepas cukai bagi tiga bulan berakhir 30 Jun 2022 (2QFY22) meningkat sebanyak 23 peratus kepada RM15.6 juta daripada RM12.7 juta pada suku perbandingan.

Hasil pengiklanan dan jualan kandungan Media Prima terus menjadi penyumbang utama kepada prestasi kewangan keseluruhan, dengan peningkatan bagi semua perniagaan kumpulan.

Peningkatan hasil pengiklanan sebanyak 9.0 peratus kepada RM370.5 juta pada 1HFY22, daripada RM341.1 juta pada 1HFY21 ini dipacu oleh cabang penyelesaian media Kumpulan, Media Prima Omnia.

Pengiklanan Kumpulan diterajui oleh sumbangan yang lebih tinggi daripada segmen penyiaran yang diwakili oleh Rangkaian Televisyen Media Prima dan Media Prima Audio telah mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 15 peratus kepada RM243.8 juta pada 1HFY22 berbanding tempoh sama pada tahun sebelumnya.

Hasil daripada perniagaan digital Media Prima, REV Media Group, meningkat 15 peratus kepada RM47.9 juta.

Perniagaan pengiklanan luar rumah Media Prima, Big Tree, mencatatkan pertumbuhan hasil sebanyak 13 peratus kepada RM56 juta, mencerminkan pulangan secara beransur dalam permintaan untuk pengiklanan luar rumah.

Hasil jualan kandungan meningkat 39 peratus dalam tempoh semasa berikutan peningkatan permintaan bagi kandungan tempatan daripada penyedia perkhidmatan penstriman sedia ada dan baharu.

Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri (Dr) Syed Hussian Aljunid.
Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri (Dr) Syed Hussian Aljunid.

Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri (Dr) Syed Hussian Aljunid berkata, pihaknya berbesar hati untuk mencatatkan pertumbuhan yang menggalakkan dalam pengiklanan merentasi perniagaan Kumpulan pada 1HFY22 walaupun menghadapi cabaran ekonomi.

"Ini bukan sahaja menunjukkan pemulihan dalam perbelanjaan pengiklanan. Ia juga mengesahkan bahawa Media Prima telah menjadi peneraju dalam industri media dan hiburan.

"Saluran televisyen kami kekal paling banyak ditonton di negara ini manakala jenama kami adalah sumber utama untuk kandungan berita dan hiburan di kalangan rakyat Malaysia.

"Melangkah ke hadapan, kami akan terus memperkukuh kelebihan daya saing ini," katanya dalam kenyataan.

 Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Rafiq Razali.
Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Rafiq Razali.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Rafiq Razali berkata, prestasi sepanjang enam bulan menunjukkan keupayaan untuk memanfaatkan kekuatan Kumpulan.

"Kami berbesar hati dengan sokongan yang berterusan dari pelanggan kami dan Kumpulan akan terus memperkukuh aliran pendapatan pengiklanan dan penciptaan kandungan kerana ini adalah pemacu strategik utama kami.

"Kami berharap dapat memberi lebih nilai kepada pelanggan kami serta menyampaikan kandungan berkualiti tinggi untuk semua rakyat Malaysia.

"Dengan ini, ditambah dengan pembaikan proses berterusan dan peningkatan kecekapan operasi akan menguatkan lagi kedudukan Kumpulan daripada sebarang halangan pasaran bagi memasuki separuh kedua tahun kewangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Ogos 2022 @ 5:56 PM