DARI kiri, Mohamad Arif, Amrin dan Fateh Iskandar pada AGM Ke-15, semalam.
DARI kiri, Mohamad Arif, Amrin dan Fateh Iskandar pada AGM Ke-15, semalam.
Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: Media Prima Berhad (Media Prima), syarikat media bersepadu terbesar di Malaysia kini menyusun kembali perancangan dan memfokuskan kepada pelaksanaan strategi serta beberapa inisiatif penting bagi menyediakan kandungan tempatan dan antarabangsa untuk menembusi pasaran baharu, sekali gus membina aliran pendapatan memberangsangkan.

Pengerusi Kumpulannya, Datuk Seri Fateh Iskandar Mohamed Mansor berkata, cabaran persekitaran perniagaan dan sentimen pasaran yang tidak menentu mempunyai kesan ketara kepada kumpulan dan penting untuk mengatur langkah strategik bagi menghadapi situasi berkenaan.

Beliau berkata, berdasarkan prospek dan cabaran bakal dihadapi pada tahun ini, syarikat berusaha meningkatkan pendapatan bukan tradisional selain mengukuhkan kedudukan pasaran bagi pendapatan berteraskan pengiklanan.

“Kumpulan juga akan terus memperkembangkan pengeluaran kandungan untuk pelbagai platform bagi pasaran melangkaui Rangkaian Televisyen Media Prima sementara terus giat mempertingkat strategi perniagaan sedia ada.

“Selain melabur dalam kandungan khusus bagi setiap platform berbeza, syarikat komited melabur dalam platform digital yang berupaya melonjakkan jenama serta pendapatan kepada kumpulan,” katanya selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Ke-15, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Urusan Kumpulan Datuk Seri Amrin Awaluddin dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Mohamad Arif Ibrahim.

Bagi tahun kewangan 2015, Media Prima merekodkan pendapatan melebihi RM1.4 bilion dan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM138.7 juta di mana PAT bertambah dengan ketara apabila kos pelaksanaan Skim Pemisahan Bersama (MSS) diambil kira pada tahun kewangan sebelumnya.

Sementara itu, Amrin berkata, ketika ini lebih 90 peratus daripada pendapatan syarikat pelaburan disumbangkan hasil pengiklanan dengan tumpuan utamanya kepada bahagian televisyen dan media cetak.

“Media Prima menyasarkan segmen bukan pengiklanannya berpotensi menyumbang 30 peratus kepada pendapatan kumpulan dalam tempoh tiga hingga lima tahun lagi.

“Disebabkan itulah, tahun lalu kami membeli dua stesen radio dan melancarkan program beli-belah di rumah CJ WOW Shop baru-baru ini. The New Straits Press Malaysia Bhd (NSTP) pula melancarkan beberapa produk dalam talian baru sepanjang tahun lalu dan lebih banyak lagi produk akan dihasilkan pada tahun ini,” katanya.

Beliau berkata, Media Prima turut menjalin kerjasama dengan beberapa syarikat menjual isi kandungan terbitannya ke pasaran luar negara termasuk kerjasama antara kumpulan dengan iflix dan penghasilan penerbitan bersama dengan syarikat penyiaran Jepun serta usaha sama yang bakal terjalin dengan Korea Broadcasting Network.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 April 2016 @ 7:02 AM