PEMAIN Perak, Muhammad Nurridzuan (dua kanan) menanduk bola ke gawang PKNS.
PEMAIN Perak, Muhammad Nurridzuan (dua kanan) menanduk bola ke gawang PKNS.

Kuala Lumpur: Kegagalan misi ke final Piala FA cukup mengecewakan buat pemain Perak namun bagi pemain pertahanan Nazirul Naim Che Hashim, ia bukan penamat perjuangan mereka musim ini.

Kekecewaan tumpas kepada PKNS 1-2 pada separuh akhir kedua di Ipoh kelmarin mahu segera dilupakan buat tonggak Bos Gaurus itu kerana fokus ketika ini adalah untuk mengejar slot beraksi dalam Piala Malaysia sebaik pusingan pertama Liga Super berakhir pertengahan bulan ini.

“Memang kecewa kerana hajat mahu membawa pasukan beraksi di final tapi apa pun kami sudah buat sehabis baik, berikan komitmen lebih 100 peratus.

“Mungkin rezeki kami setakat ini saja tapi ia tidak akan mematahkan semangat pasukan ini kerana kami perlu fokus kepada saingan liga. Kami perlu pastikan tempat ke Piala Malaysia,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Selepas seri 2-2 pada separuh akhir pertama dengan PKNS, Perak gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di depan lebih 35,000 penyokong kelmarin apabila membenarkan pasukan pelawat meledak dua gol menerusi Mathias Hadwa dan Juan Manuel Corbelli.

Tandukan Nazirul Naim yang kemudian disambar oleh Firdaus Saiyadi untuk gol pertama tidak cukup untuk Bos Gaurus meneruskan pemburuan gelaran sejak kali terakhir pada 2005.

“Kami kehilangan beberapa tonggak utama dalam perlawanan semalam (kelmarin) dan kami gagal menyaingi fizikal pemain import PKNS yang menjaringkan dua gol menerusi gerakan yang sama.

“Kami perlu belajar daripada kekalahan ini untuk bersama-sama bangkit meneruskan baki saingan musim ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Mei 2016 @ 10:41 AM