MUHAMMAD Firdaus (kiri) diasak penjaga gol PDRM FC, Mohd Farzly Muhammad pada perlawanan persahabatan, semalam. FOTO Abdullah Yusof
MUHAMMAD Firdaus (kiri) diasak penjaga gol PDRM FC, Mohd Farzly Muhammad pada perlawanan persahabatan, semalam. FOTO Abdullah Yusof
Muhammad Apendy Issahak


JUARA Piala Malaysia 2018, Perak mempersiapkan skuad dengan mencuba pemain muda bagi persediaan mengharungi musim 2019 yang lebih mencabar termasuk play off Liga Juara-Juara Asia (ACL).

Persiapan pramusim The Bos Gaurus dimulakan dengan aksi persahabatan pertama menentang pasukan Liga Perdana, PDRM di Stadium Perak malam tadi yang berkesudahan seri tanpa jaringan.

Kesebelasan pemain diturunkan jurulatih Perak, Mehmet Durakovic, hanya membariskan beberapa tonggak seperti Brendan Gan, Leandro Dos Santos Oliveira, Gilmar Jose Da Silva dan Ahmad Khairil Anuar Ahmad Zamri (Beto).

Selebihnya adalah pemain muda termasuk Muhamad Syazwan Zaipol Bahari, Muhammad Firdaus Saiyadi, Kahirul Amri Salehuddin (penjaga gol) dan beberapa pemain lain dengan Durakovic berpuas hati dengan prestasi mereka walaupun tidak berjaya menjaringkan gol.

“Saya gembira dengan prestasi ditunjukkan pemain, kami mengawal permainan untuk 90 minit seperti dijangkakan di mana kami berjaya mencipta beberapa peluang tetapi agak sedikit 'berkarat' pada pramusim ini dan sepatutnya menjaringkan dua atau tiga gol.

“Bagaimanapun secara keseluruhannya saya puas hati terutama dengan pemain muda," katanya.

“Zachary Michael Anderson, Wander Luiz Bitencount dan pemain tempatan seperti Nazirul Naim Che Hashim sudah berlatih bersungguh-sungguh, jadi saya rehatkan mereka kerana kita akan berdepan dengan musim yang panjang.

“Mereka akan kembali dan harap mereka sudah bersedia untuk berdepan Kedah minggu depan 13 Januari 2019 (Unity Sheild), namun ini hanya pramusim jadi perlawanan ini bagi menguji pemain sahaja,” katanya.

“Buat masa ini saya puas hati dengan empat pemain import, saya juga ingin beri peluang kepada pemain muda begitu juga pemain tempatan.

“Saya ada Beto, Fi (Muhammad Firdaus), Along (Muhammad Rafiuddin Roddin) dan beberapa pemain muda lain yang bagus. Mereka adalah aset masa depan Perak, setakat ini saya puas hati dengan mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 January 2019 @ 4:36 PM