ZAMNI (kanan) menunjukkan cara memakai jaket keselamatan kepada pelanggannya.
ZAMNI (kanan) menunjukkan cara memakai jaket keselamatan kepada pelanggannya.

Sebahagian besar penduduk lelaki di Pulau Aman bekerja sebagai nelayan, manakala sebahagian kecil pekerjaan sampingan lain.

Antaranya, Ishak Man, 48, yang bekerja sebagai nelayan pantai dan menjadi ahli Unit Persatuan Nelayan Pulau Aman di bawah Persatuan Nelayan Seberang Prai.

Ishak berkata, biasanya dia turun ke laut sekitar jam 3 pagi dan pulang pada jam 6 pagi untuk mendaratkan hasilnya serta mampu memperoleh RM100 sehari, bergantung kepada keadaan cuaca.

“Hasil laut yang didaratkan biasanya dijual terus kepada pengusaha restoran makanan laut di pulau ini mengikut harga pasaran semasa.

“Bagaimanapun, selain berdepan masalah cuaca tidak menentu, nelayan terpaksa mengeluarkan kos sendiri untuk memperbaiki bot rosak dan sekali dalam sebulan saya akan membaiki pukat dengan kos boleh mencecah RM500 dan tambahan RM20 jika mengupah tukang membaiki pukat.

“Nelayan tidak boleh lari daripada masalah ini kerana pukat memang kerap rosak jika terkena tukun, pokok atau sampah hanyut. Cuaca panas yang melanda negara ketika ini turut menyebabkan pendapatan nelayan turut terjejas kerana tangkapan ikan berkurangan,” kata bapa kepada lima anak itu.

“Pengunjung ke pulau ini boleh melihat sendiri aktiviti mendaratkan hasil tangkapan yang segar di jeti nelayan serta membelinya dengan harga berpatutan,” katanya.

Bagi Zamni Zat Md Zain, 38, pula, dia sanggup menolak tawaran gaji lumayan dan berhenti kerja sebagai Eksekutif Jaminan Kualiti di kilang untuk mengusahakan perkhidmatan bot sewa kepada kaki pancing.

Menceritakan permulaan kerjayanya, Zamni Zat berkata, dia kaki pancing yang akan turun ke laut selepas pulang dari kerja dan hanya pulang pada awal pagi sebelum bergegas ke tempat kerja.

Menurutnya, hobinya itu mencetuskan idea untuk mengusahakan perkhidmatan bot sewa kepada kaki pancing di perairan pulau berkenaan.

Bermula dengan sebuah bot yang dibeli enam tahun lalu, kini Zamni Zat memiliki empat bot yang disewa kaki pancing dengan bayaran RM350 sehari bagi kapasiti empat penumpang atau mengikut jam antara 8 pagi hingga 5 petang.

“Saya turut menyewakan bot berkapasiti 12 penumpang kepada pengunjung bagi bersiar-siar di perairan Selat Melaka mengelilingi Pulau Aman dan Pulau Gedung.

“Paling diutamakan keselamatan pelanggan dan saya akan mengadakan demonstrasi mengenai pemakaian jaket keselamatan selain mengingatkan mereka mengenai cara menangani kecemasan ketika berada di laut,” kata bapa kepada tiga anak itu.

Selain mesra dengan panggilan Zam, dia turut dikenali sebagai Tok Pulau dalam kalangan kaki pancing berikutan pengalaman dan pengetahuannya mengenai perairan di pulau berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 April 2016 @ 5:15 AM