RAIMAN hilang selepas terjatuh ke dalam laut. FOTO Ihsan APMM Selangor.
RAIMAN hilang selepas terjatuh ke dalam laut. FOTO Ihsan APMM Selangor.
Norzamira Che Noh


Pelabuhan Klang: Pemancing hilang selepas terjatuh ke dalam laut apabila sampan dinaiki dirempuh bot pukat tunda di Perairan Sementa, Kapar di sini.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor Kepten Maritim V Siva Kumar berkata, mangsa adalah lelaki tempatan dikenali Raiman Suyud, 54.

Katanya, operasi Carilamat diaktifkan pada 11.20 pagi tadi selepas menerima laporan dengan bot Perkasa 36 melakukan pencarian di lokasi dan pangkalan hadapan Carilamat ditubuhkan di Jeti Pengkalan Nelayan Sementa.

"Pencarian seluas 10 batu nautika, namun sehingga 7 malam, mangsa masih belum ditemui. Operasi ditangguhkan berikutan faktor penglihatan terhad dan akan bersambung esok," katanya.

Siva Kumar berkata, mangsa difahamkan keluar memancing pada 11.30 malam semalam bersama seorang rakan dengan menggunakan sampan.

Bagaimanapun, sampan mereka dirempuh bot pukat tunda yang tidak memasang lampu navigasi sekitar 5.30 pagi yang menyebabkan sampan itu pecah dan kedua-duanya terjatuh ke laut.

"Mangsa yang tidak boleh berenang didakwa mengalami kekejangan kaki dan hanyut, sementara rakannya berenang ke pesisir pantai sebelum diselamatkan bot pancing berhampiran," katanya.

Terdahulu, operasi berkenaan turut disertai Pasukan Polis Marin (PPM); Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM); Angkatan Pertahanan Malaysia dan komuniti nelayan setempat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Februari 2023 @ 11:48 PM